Dewan Rakyat kecoh isu jurugambar dipukul di Permatang Pauh
Suasana tegang itu timbul semasa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung menjawab soalan tambahan mengenai perkara itu yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).
Chor menjawab: "Kononnya mengikut orang yang buat aduan itu (jurugambar), memang mereka ini dipukul oleh anggota dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) lah, atau pembangkang."
Jawapan Chor itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota pembangkang yang berpendapat bahawa ia seperti menuduh parti itu bersalah sedangkan siasatan masih dijalankan.
Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) bangkit dan menggesa Chor supaya menarik balik jawapannya itu kerana menurutnya ia berniat jahat.
"Saya minta Timbalan Menteri tarik balik tuduhan itu. Itu niat yang jahat. Minta Timbalan Menteri buat penjelasan kerana beliau tidak boleh buat tuduhan tidak berasas. Itu berniat jahat," katanya.
Keadaan itu kemudian berterusan dengan perang mulut di antara penyokong kerajaan dengan pembangkang menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee meminta mereka bertenang.
"Saya anggap itu adalah jawapan daripada Timbalan Menteri. Saya dah buat keputusan itu bukan 'misleading'. Polis di bawah kementeriannya (Chor). Jadi itu adalah jawapannya," katanya.
Kenyataan Kiandee itu tidak dapat diterima Mohamad Azmin yang meminta peluang untuk berhujah bagi membetulkan fakta.
"Ini bukan soal setuju atau tidak. Tapi siasatan sedang dijalankan dan belum selesai. Saya ada hak untuk berhujah dan saya minta hormati hak saya," katanya tetapi ditolak oleh Kiandee.
Dalam insiden 16 Ogos itu, jurugambar Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd Sairen Mohd Nafis, 26, dan Halim Berbar dari HBL Press News di Perancis diserang sekumpulan lelaki dekat pusat penamaan calon di perkarangan Institut Tuanku Bainun.
Sebelum itu, Chor memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihak polis menghantar pegawai dan anggota yang mencukupi untuk menjaga keamanan sepanjang tempoh pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Katanya, bukan polis tidak menjaga keselamatan dengan baik sebaliknya kadang-kadang keghairahan penyokong parti boleh menimbulkan masalah.
"Kali ini di Permatang Pauh, bukan kata polis tidak mengawal keselamatan dengan baik. Tetapi kadang kala kedua-dua pihak, saya tidak mahu kata sama ada pembangkang ataupun pihak Barisan Nasional (BN), terlalu ghairah maka boleh timbul masalah," katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah Jenayah Indeks yang dilaporkan adalah sebanyak 106,753 kes, berbanding 101,728 kes tahun lepas.
Katanya, kadar itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5,025 kes, iaitu 4.94 peratus.
Beliau berkata sejumlah 60,000 lagi anggota polis akan ditambah dalam tempoh lima tahun akan datang dan pada tahun ini sahaja, terdapat pengambilan tambahan sebanyak 1,000 terdiri daripada pegawai dan 3,000 lagi konstabel. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan