(Dikemas kini)
Bekas Ketua Pengarah Imigresen mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Wahid Md Don mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh bulan lepas.
Wahid, 56, didakwa menerima wang itu daripada Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.
Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.
Ketika pertuduhan dibacakan, Wahid yang berpakaian kot berwarna hitam, menganggukkan kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Wahid diserahkan kepada mahkamah.
Pihak pendakwaan akan memanggil seramai 25 saksi untuk perbicaraan kes itu nanti.
Peguam Datuk V. Sithambaram meminta mahkamah membenarkan Wahid diikat jamin peribadi memandangkan anak guamnya merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan yang patuh pada undang-undang dan tidak akan melarikan diri kerana "tidak mahu kehilangan segala-galanya."
Lagipun, katanya, Wahid telah bekerjasama dengan BPR sepanjang siasatan.
Hakim S. M. Komathy Suppiah membenarkan Wahid diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, dan menetapkan
Isteri Wahid membayar jaminan tersebut.
Wahid, yang memegang jawatan Ketua Pengarah Imigresen sejak 1 Okt 2006, kini bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Proses pendakwaan terhadap beliau yang sepatutnya berlangsung pada 8 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit dada pada awal pagi hari tersebut. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan