HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Ogos 2008

(Dikemas kini)

Sah 3 rebut kerusi Permatang Pauh, wakil ganti PKR tarik diri
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh - yang disifatkan sebagai ujian getir bagi parti-parti politik tempatan selepas pilihan raya umum ke-12, menyaksikan pertarungan tiga penjuru.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun gelanggang - selepas 'berehat' hampir 10 tahun - untuk merampas semula kerusi Permatang Pauh dan menuju ke Putrajaya, menghadapi cabaran wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Arif Shah Omar Shah.

Turut bertanding Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat.

Senarai tiga calon rasmi bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya kira-kira pukul 12 tengah hari di hadapan lebih 20,000 penyokong parti, yang majoritinya BN dan Pakatan Rakyat, di padang Institut Perguruan Tuanku Bainon, Mengkuang, Bukit Mertajam dekat sini.

Pengundian akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Semasa sesi penamaan calon ditutup pukul 10 pagi, dimaklumkan bahawa empat calon mengemukakan borang masing-masing.

Bagaimanapun calon keempat, Dr. Mansor Othman, anggota Majlis Tertinggi PKR dan bekas Ketua PKR Pulau Pinang telah menarik diri selepas sesi bantahan berakhir sejam kemudian.

Ketika calon-calon dibawa ke astakar pada Institut Perguruan Tuanku Bainun, Anwar dilihat menunjukkan tiga jari tangan kanan kepada para penyokongnya sebagai isyarat hanya tiga calon bertanding.

mStar Online difahamkan Mansor diletakkan untuk meneruskan perjuangan PKR, sebagai langkah berjaga-jaga jika pencalonan Anwar ditolak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor mengesahkan bahawa Mansor telah menarik diri selepas tempoh bantahan.

Sementara Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan pula berkata Mansor menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman dibuat.

Akibat daripada penarikan diri itu, Mansor kehilangan depositnya kerana keputusan itu dibuat selepas pukul 10 pagi, selepas waktu penyerahan borang pencalonan tamat.

"Malah mana-mana calon (yang bertanding pada pilihan raya kecil itu) masih boleh menarik diri dalam tempoh tiga hari," kata Roslan.

Sementara itu, Mansor yang enggan mengulas lanjut berkata beliau menarik diri setelah pencalonan Anwar diterima dan mengakui beliau masih anggota PKR dan menyokong Anwar.

Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali ketika ditanya sama ada Mansor sengaja "dipasang" oleh pihaknya, beliau berkata, ia akan dijawab kemudian.

"Sehingga 9 pagi tadi beliau merupakan ahli PKR dan timbalan saya selaku Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan PKR," katanya ketika sesi bantahan pencalonan sedang berlangsung.

Pada sidang akhbar kemudian, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menyifatkan tindakan PKR itu sebagai usaha "meletakkan calon insurans" bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika pencalonan Anwar ditolak.

Bagaimanapun ketika mengumumkan senarai calon rasmi, Pengurus Pilihan Raya memberitahu hanya tiga calon bertanding pilihan raya kecil.

Mengikut senarai calon yang mengemukakan borang, kata beliau, Arif Shah menyerah borang pukul 9.03 pagi, diikuti Anwar pukul 9.12 pagi dan Hanafi pula 9.40 pagi.

Di atas kertas undi, nama Hanafi akan tertera di atas, dan disusuli Anwar nombor dua manakala Arif Shah pula nombor ketiga.

SPR menerima lima bantahan termasuk tiga daripada BN berhubung kertas penamaan calon yang dikemukakan.

Difahamkan tiga dikemukakan BN merujuk kepada kertas yang diserahkan Anwar.

Terdahulu, menjelang pukul 9.20 pagi tadi, Anwar dan Arif Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya telah menyerahkan borang penamaan calon.

Arif Shah masuk ke Dewan Aminuddin Baki untuk menyerah borang pada pukul 9 pagi dan diikuti oleh Anwar lima minit kemudian.

Calon ketiga iaitu Dr. Mansor Othman tiba untuk menyerahkan borang penamaan calon mewakili parti Bebas pada pukul 9.20 pagi. Beliau juga merupakan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang dan anggota Majlis Tertinggi PKR.

Seterusnya, calon keempat iaitu Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Hamad tiba pada pukul 9.30 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon. Berbanding dengan dua calon terdahulu, Hanafi datang dengan sekumpulan kecil penyokongnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Azmin Ali menetapkan Mansor adalah ahli PKR.

Ketika ditanya samada PKR sengaja meletakkan Mansor untuk serah borang penamaan calon, beliau berkata, "Tunggu sehingga pukul 11.30 pagi nanti kerana kami akan mengadakan satu sidang akhbar."

Tempoh bantahan penamaan calon berakhir pada pukul 11 pagi. BN mengemukakan tiga bantahan.

Dalam satu jam lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan senarai calon rasmi yang bertanding dalam pilihan raya ini.

Terdahulu, para pemimpin BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi Arif Shah, 51, ke pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi ini, sementara Anwar, 61, diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin gabungan Pakatan Rakyat.

Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 58,459 pengundi terdiri daripada 69 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina, enam peratus India dan lainlain bangsa selepas Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi itu.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1982 hingga 1999, sebelum melepaskannya apabila dijatuhi hukuman penjara kerana penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: