Kementerian Pengangkutan kesan tuntutan palsu projek Pelabuhan P.Pinang
BUTTERWORTH: Kementerian Pengangkutan mengesan pemalsuan tuntutan bayaran interim sebanyak RM5.4 juta oleh kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan semula Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang, Mac lalu.
Menterinya, Datuk Ong Tee Keat berkata, kegiatan itu dikesan beberapa hari selepas beliau menerajui kementerian itu.
Katanya, kontraktor terbabit telah mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM5.4 juta sebagai bayaran berperingkat untuk kerja-kerja pembangunan semula pelabuhan itu, yang bernilai RM65 juta, pada 21 Mac lalu.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan dua unit "Gottwald mobile harbour crane" di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini hari ini, beliau berkata, projek itu melibatkan pembekalan ponton, pembinaan struktur bangunan serta jambatan bergerak.
"Jumlah sebenar nilai kerja ialah RM1.92 juta tetapi tuntutan dikemukakan bernilai RM5.4 juta dan perbezaan jumlah itu amat ketara. Bayaran telahpun dibuat kepada kontraktor berkenaan," katanya.
Ong berkata, hasil pemeriksaan, Kementerian mendapati terdapat kecacatan dari segi barangan yang dibekalkan dan juga stuktur bangunan yang disediakan kontraktor itu.
Berikutan itu, katanya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kontraktor berkenaan termasuk penamatan kontrak dan tindakan mahkamah.
"Perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Katanya, projek pembangunan semula pelabuhan itu yang dibiayai kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bermula Mei 2006 dan siap pada April lalu tetapi sehingga kini hanya 82 peratus sahaja yang siap.
Ong meminta semua pengurusan pelabuhan di negara ini supaya memantau projekprojek pembangunan di kawasan masing-masing bagi memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan adalah kos yang menguntungkan dari segi ekonomi.
Pada perkembangan lain, Ong menasihati pengusaha-pengusaha jeti persendirian di dalam kawasan pentadbiran pelabuhan di seluruh negara supaya tidak melakukan sebarang aktiviti tanpa kelulusan pihak berkenaan.
Katanya, pada ketika ini wujud banyak jeti kecil di kawasan pentadbiran pelabuhan yang beroperasi dengan lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
"Walaupun mereka mendapat lesen itu, ini tidak bermakna mereka boleh beroperasi di kawasan pelabuhan dan kegiatan sedemikian banyak di kesan di sekitar Pelabuhan Klang," katanya.
Setakat ini, terdapat 19 jeti kecil yang beroperasi di kawasan itu yang mungkin terdedah kepada kegiatan yang menyalahi undang-undang, katanya.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Pelabuhan Kelang telah mengeluarkan surat amaran kepada mereka dua minggu lalu berhubung perkara itu, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan