HALAMAN SANTAI

Jumaat, 8 Ogos 2008

Hindraf tidak wajar saman Musa, Gani
Malaysiakini


Ketua polis negara berkata kenyataannya mengaitkan Pasukan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dengan pengganas Sri Lanka bertujuan mengelak perbalahan kaum.

Dengan itu, tambahnya, pemimpin gerakan itu P Uthayakumar tidak berhak menuntut ganti rugi RM100 juta daripada beliau, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan pembelaannya, Tan Sri Musa Hassan berkata kenyataannya 6 Disember tahun lepas dikeluarkan selaku pegawai polis tertinggi yang dipertanggungjawab oleh undang-undang untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Menurut beliau, lapor Bernama hari ini, kenyataannya itu juga untuk membalas dan membela dirinya terhadap dakwaan palsu yang dilemparkan oleh Hindraf terhadap kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis.

Uthayakumar mengemukakan saman fitnah menuntut ganti rugi daripada Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia kerana mendakwa perkataan-perkataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh defendan dan dilaporkan meluas oleh media telah mengaitkannya dengan kumpulan pengganas.

Beliau mendakwa ia telah memusnahkan kredibiliti dan reputasinya kerana perkataan-perkataan berunsur fitnah itu mencerminkannya sebagai seorang pengganas dan berhasrat untuk menggunakan kekasaran bagi mencapai objektifnya menggulingkan kerajaan.

Pernyataan ketiga-tiga defendan itu telah difailkan pada 5 Jun lepas oleh peguam kanan persekutuan yang mewakili mereka.

Pihak defendan juga telah mengemukakan permohonan saman dalam kamar bagi memohon mahkamah membatalkan saman pihak Hindraf, dengan alasan defendan telah mengeluarkan perkataan-perkataan tersebut berdasarkan jawatan-jawatan mereka dan dalam keadaan perlindungan bersyarat kerana Hindraf merupakan isu kepentingan awam.

Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Yazid Mustafar hari ini menetapkan 2 Disember ini untuk mendengar permohonan defendan untuk membatalkan saman itu.

Dalam pembelaannya itu, lapor agensi berita itu lagi, Musa juga berkata Hindraf sebuah organisasi haram yang melanggar undang-undang negara dengan mengadakan perhimpunan haram serta menghasut orang awam sehingga mencetus huru-hara dan mengganggu ketenteraman awam.

Musa berkata perhimpunan Hindraf pada 25 November tahun lepas adalah haram yang sengaja diteruskan sehingga tercetus keganasan walaupun telah ia dinasihati agar membatalkan perhimpunan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya pula, Abdul Gani berkata kenyataan yang dikatakan fitnah itu tidak merujuk kepada Uthayakumar sebaliknya pemimpin Hindraf itu sengaja membuat cerita bahawa kenyataan tersebut merujuk kepadanya.

Abdul Gani menambah, kenyataan tokoh Hindraf itu bertujuan menjatuhkan kewibawaan beliau dengan menyatakan bahawa beliau membuat kenyataan palsu.

Menurutnya lagi, kenyataan yang dikeluarkannya berkepentingan awam pada masa itu untuk membela dirinya terhadap dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh Hindraf ekoran tindakannya mendakwa penyokong Hindraf di mahkamah dan juga menentang permohonan mereka dibebaskan dengan ikat jamin.

Uthayakumar kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama empat pemimpin gerakan itu: M Manoharan, V Ganabatirau, K Vasantha Kumar dan R Kenghadharan.

Tiada ulasan: