Kerajaan tetap bayar rebat walaupun harga minyak turun
"Harga minyak pada masa sekarang menurun dan kita akan menstruktur semula harga minyak mulai 1 September ini, kemungkinan besar harga di stesen minyak akan turun.
"Bagaimanapun, kerajaan akan kekal membayar seperti yang telah dijanjikan iaitu membayar balik rebat dengan kadar yang telah dijanjikan," katanya menjawab soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pemberian rebat tunai sebanyak RM625 kepada pemilik kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2,500cc manakala RM150 pula diberikan kepada pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc bagi mengurangkan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak.
Kong berkata kerajaan memilih Pos Malaysia Berhad (PMB) untuk melaksanakan pembayaran rebat tunai di bawah penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel kerana aktiviti pengurusan bayaran bukanlah perkara baru kepada PMB sebagai salah satu agen pungutan bagi pembayaran bil setempat, cukai tanah, transaksi pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan sebagainya.
"Di samping itu, PMB yang mempunyai 686 buah cawangan di seluruh negara serta dilengkapi dengan sistem dalam talian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menjadi pilihan utama orang ramai untuk memperbaharui cukai jalan di mana 60 peratus daripada aktitiviti itu diuruskan oleh PMB," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga mengambil kira faktor keupayaan PMB untuk melayani tuntutan pemilik kenderaan yang telah membaharui cukai jalan pada bulan April hingga Mei lepas iaitu sebelum pembayaran rebat tunai diperkenalkan.
"Berdasarkan faktor ini kerajaan yakin PMB dapat melaksanakan tugas pembayaran rebat tunai dengan lancar," katanya.
Kong berkata kerajaan masih lagi berbincang dengan PMB mengenai bayaran komisen atau caj.
Kepada soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian), Kong berkata matlamat utama penstrukturan semula subsidi minyak adalah untuk memastikan subsidi yang ditanggung kerajaan sepadan dengan keupayaan kewangan negara, merapatkan jurang harga antara harga subsidi dan harga pasaran yang menyebabkan ketirisan dan meredakan herotan pasaran yang keterlaluan.
"Selain mencapai matlamat, penstrukturan semula subsidi juga memperlihatkan kadar inflasi yang meningkat.
"Namun, kerajaan yakin bahawa peningkatan ini berlaku disebabkan proses penyesuaian oleh rakyat dan industri di mana ia bersifat sementara dan bukanlah satu keadaan inflasi yang sebenar," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan