Calon AKIM yakin dapat 40 peratus undi, tiada niat jadi PM
MSTAR ONLINE
BUKIT MERTAJAM: Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, antara tiga muka yang bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi sanggup memikul tanggungjawab tersebut jika keadaan mendesak.
"Niat saya bukan menjadi Perdana Menteri, tetapi untuk menstabilkan negara dan menyemai perpaduan di kalangan rakyat," kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.
"Tujuan saya bukan untuk memerintah negeri (negara), tetapi untuk memberi kesedaran kepada parti-parti politik bahawa kestabilan dan perpaduan adalah penting bagi negara ini," kata beliau yang mengetuai AKIM, yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli di seluruh negara.
Hanafi yakin boleh memperoleh 40 peratus undi.
Ketika ditinjau mStar Online petang ini, bilik gerakan yang didirikan dalam bentuk khemah di kawasan lapang berhampiran bulatan Bukit Tengah, berdekatan dengan Bukit Mertajam, hanya diuruskan oleh beberapa pekerjanya.
Semasa ditinjau, selain Hanafi turut berada di khemah itu ialah Setiausaha Agung AKIM, Kapten (B) Abdullah Sani Musa, Bendaharinya Ali Akhbar dan Ketua Penerangan Kapten (B) Rosli Ghazali serta seorang pekerja lain.
Satu lagi bilik operasi adalah di Jalan Siakap.
Tiga daripada 12 anaknya turut membantu beliau berkempen.
Hanafi, 61, yang telah mencuri perhatian media sejak hari penamaan calon berkata, perpaduan menjadi matlamat dan dasar perjuangan AKIM.
Pada hari penamaan calon kebanyakan wakil media tidak menyedari kehadiran beliau berbanding Datuk Arif Shah Omar Shah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ribuan iringan penyokongnya.
Beliau memulakan kempennya secara rasmi semalam tetapi kerja-kerja asas telah dilakukan oleh pekerja-pekerjanya dalam lingkungan 100 orang sejak Sabtu lalu.
Hanafi telah kembali ke Kelantan selepas penamaan calon berakhir.
Dengan mengakui dirinya seorang ahli perniagaan di Kelantan, Hanafi berkata, beliau menghabiskan kira-kira RM20,000 untuk menghasilkan poster kempennya.
Posternya hanyat tertera nama "Haji Pi" merujuk kepada Haji Hanafi.
Beliau sebelum ini telah menafikan bahawa tindakannya bertanding kali ini bertujuan menjejaskan undi diperoleh Anwar dan Arif Shah.
Ketika ditanya sama ada beliau kemungkinan menarik diri daripada bertanding, Hanafi berkata: "Tidak, tidak. Ini perjuangan."
Malah Hanafi menambah, beliau tidak didampingi oleh mana-mana parti supaya menarik diri daripada bertanding.
Presiden parti serpihan PAS itu berkata, parti itu masih mempunyai masa untuk berkempen bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan