Lagi kes politik rasuah diterima BPR, Umno akui kes banyak
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Veteran Umno, Datuk Mazlan Harun hari ini membuat laporan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti manakala Setiausaha Agung pula mengakui telah menerima banyak laporan mengenai pergaduhan dan politik wang dari seluruh negara.
Laporan hari ini dibuat berdasarkan dakwaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim dalam sepucuk suratnya kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Setiausaha Agung Umno, yang mendakwa bahawa pucuk pimpinan parti telah melakukan rasuah politik, kata Mazlan ketika ditemui di pejabat BPR Wilayah Persekutuan di sini selepas membuat laporan itu.
Kata Mazlan, berkata laporan itu dibuat bertujuan memastikan proses pemilihan Umno di semua peringkat dijalankan tanpa sebarang penyalahgunaan kuasa.
Ditanya sama ada apaapa bukti dikemukakan kepada BPR, beliau berkata semua dokumen berkaitan dakwaan tersebut telah diserahkan kepada BPR.
Ketika dihubungi mStar Online, Tengku Adnan mengakui menerima banyak laporan mengenai pergaduhan dan politik wang yang berlaku sekitar pemilihan peringkat cawangan di seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu jumlah laporan yang diterima setakat ini.
“Banyak.. saya tak boleh nak beritahu anda,” katanya.
Umno yang mengadakan mesyuarat tahunan peringkat cawangan sejak dua minggu lalu dicemari dengan siri pergaduhan dan gejala politik wang di seluruh negara ketika pengurusan parti berusaha untuk mengawal budaya kurang sihat daripada berleluasa.
Berikutan itu, Ibu Pejabat Umno telah menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan gejala itu tidak berlarutan.
Mengulas perkara itu, Tengku Adnan berkata, sekretariat tersebut mengadakan mesyuarat setiap hari bagi memantau gejala politik wang di seluruh cawangan dan laporan yang diterima dirujuk sama ada kepada Lembaga Disiplin Umno atau Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Kita mengadakan mesyuarat setiap hari dari pagi hingga petang.
“Yang mana perlu berhubung etika, kita akan bawa kepada Lembaga Disiplin. Yang mana tidak dapat kita selesaikan seperti yang melibatkan wang, kita rujuk kepada BPR,” katanya.
Beliau berkata, sekretariat tersebut yang diwujudkan di peringkat pusat mempunyai anggota yang agak ramai.
“Kita mempunyai pegawai yang mengendalikan setiap negeri, setiausaha kerja dan kita turut mempunyai peguam yang akan memberi nasihat berhubung hal-hal perundangan,” katanya.
Katanya, sekretariat untuk memantau politik wang juga wujud di setiap negeri tetapi semua aduan dan laporan tetap dirujuk kepada sekretariat pusat bagi mengelakkan unsur berat sebelah.
Dalam perkembangan yang sama, Tengku Adnan turut mengulas aduan yang dibuat Mazlan hari ini kepada BPR yang menuduh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan sokongan di kalangan ahli Umno untuk mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan parti itu, Disember ini.
Menurut Tengku Adnan, perjumpaan antara Presiden dan Timbalan Presiden dengan ahli-ahli parti adalah perkara biasa dan memang menjadi amalan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan