HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Ogos 2008

Lebih 9,900 hektar tanah wakaf terbiar akan dibangunkan

JOHOR BAHRU: Sejumlah 9,907 hektar tanah wakaf bernilai RM1.2 bilion yang terbiar di seluruh negara akan dibangunkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tanah wakaf itu akan dibangunkan melalui tiga kaedah iaitu secara terus dengan peruntukan RM256.6 juta daripada JPM, kerjasama dengan pemaju tanah dan Bina, Operasi dan Pindah (B.O.T).

Bercakap kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Awqaf 2008 Memperkasakan Sosial dan Ekonomi Ummah di sini hari ini, katanya sebanyak 25 lokasi tanah telah dikenalpasti untuk dibangunkan secara terus dengan peruntukan RM256.6 juta itu," katanya.

Mengenai kerjasama atau pelaburan bersama dengan pemaju hartanah, menurutnya untung melalui penjualan atau pinjaman manakala bagi kaedah B.O.T pula tanah akan dibangunkan di mana perniagaan akan dijalankan di situ dan dikembalikan kepada Baitulmal dalam tempoh waktu tertentu seperti dalam perjanjian.

Bagaimanapun sebahagian tanah terbiar yang strategik akan dibangunkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan Baitulmal negeri yang akan dimajukan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Zahid Berkata kaedah untuk sesuatu pembangunan tanah wakaf itu adalah mengikut kesesuaiannya.

Katanya tanggungjawab membangunkan tanah wakaf tidak harus dipikul kerajaan semata-mata sebaliknya dengan kerjasama semua.

Tanah wakaf yang paling banyak terbiar ialah di Pulau Pinang yang kebanyakkannya terletak di kawasan paling strategik.

Beliau berkata tanah wakaf am adalah terbuka untuk semua jenis pembangunan tetapi khusus untuk tujuan tanah perkuburan, ia hanya boleh dijadikan tanah perkuburan sahaja.

Bagaimanapun ia boleh diubah iaitu tanah yang khusus untuk masjid boleh dijadikan pusat komersial selagi masjid akan juga dibina di kawasan itu. BERNAMA

Tiada ulasan: