Pakatan Rakyat lapor kerajaan Negeri Sembilan kepada BPR
SEREMBAN: Pakatan Rakyat hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri berhubung tindakan kerajaan Negeri Sembilan membatalkan elaun pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri sebanyak RM1,500 sebulan selepas pilihan raya umum Mac lepas.
Laporan itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohamad Omar.
Bercakap kepada pemberita, Zulkefli berkata alasan kerajaan negeri bahawa tindakan itu sebagai langkah berjimat cermat adalah tindakan tidak demokratik dan menafikan hak wakil rakyat untuk menggunakan peruntukan itu bagi kebajikan rakyat.
Katanya Pakatan Rakyat juga meminta BPR menyiasat tindakan kerajaan negeri melantik 11 pegawai khas Menteri Besar yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri termasuk diberi kuasa untuk duduk dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan daerah dan mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah.
"Kami meminta BPR melakukan tindakan yang sewajarnya bagi membetulkan keadaan yang tidak sihat ini daripada terus berlaku," katanya.
Zulkefli diiringi beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Pengerusi DAP Negeri yang juga anggota Parlimen Rasah dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak Loke Siew Fook, Adun Sikamat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Aminuddin Harun dan Ketua Pemuda PAS Negeri yang juga Adun Paroi Mohamad Taufek Abdul Ghani. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan