Terengganu Parah, Samseng Pelajar Menjadi-jadi
Editor Buletin Online
KUALA TERENGGANU - Beberapa pelajar di negeri ini mengaku mereka menggelarkan diri sebagai ahli kumpulan samseng Gagak Hitam semata-mata untuk berlagak hebat dan digeruni rakan-rakan lain.
Dengan berbuat demikian, kononnya mereka bukan sahaja selamat daripada dibuli pelajar senior malah imej dan populariti mereka di kalangan pelajar lain meningkat.
Beberapa ahli geng itu yang berusia antara 13 hingga 14 tahun yang ditemui Kosmo! semalam berkata, disebabkan untuk menjadi hebat itulah, maka mereka rela menahan sakit dengan menoreh dagu sebagai tanda menjadi ahli kumpulan itu.
Zarimi (bukan nama sebenar), 13, berkata, dia seronok berpenampilan begitu dan berasa hebat di dalam kelompok rakan di sekolah.
Katanya, dia menjadi ahli Gagak Hitam setelah tidak tahan dibuli pelajar lebih dewasa termasuk dipaksa membeli makanan untuk pelajar itu menggunakan wang sakunya sendiri.
"Dulu masa mula masuk tingkatan satu saya teruk kena buli. Saya diejek pelajar lebih besar, ada yang minta wang dan suruh saya buat macam-macam.
"Sekarang saya dah jadi kuat kerana saya ada tanda torehan di dagu dan orang tahu saya ahli Gagak Hitam.
"Siapa berani kacau saya? Mereka akan beringat kalau nak kacau ahli Gagak Hitam. Tanda di dagu buat orang hormat dan takut kepada kami," katanya.
Katanya, penglibatannya dalam kumpulan itu bermula apabila dicadangkan oleh beberapa remaja tidak bersekolah yang mendengar rintihannya dibuli pelajar lain.
Malah, katanya, remaja itu juga menoreh dagunya dan kemudian menghantar dan mengambilnya dari sekolah selama beberapa minggu.
Tidak lama selepas itu, katanya, didapati beberapa pelajar senior yang sering membulinya tidak lagi berani melakukan perkara itu lagi.
Semalam akhbar Kosmo melaporkan wujud tanda-tanda kegiatan ala Gagak Hitam di beberapa sekolah di negeri ini sejak akhir-akhir ini.
Ia ekoran ada pelajar bertindak menoreh dagu mereka dengan sulur mempelas hingga berparut sebagai meniru amalan ahli kumpulan samseng pelajar yang popular sekitar tahun 1980-an dulu.
Gagak Hitam 20 Tahun Lalu
"Gagak Hitam ajar kami jadi jahat, merokok, minum arak, hisap ganja dan pergaulan bebas!"
Itulah pendedahan seorang lelaki yang pernah menjadi ahli kumpulan haram itu sewaktu di bangku sekolah.
Beliau yang kini berusia 40 tahun dan mahu dikenali sebagai Yus berkata, beliau pernah melalui jalan hidup berliku sebagai ahli Gagak Hitam dan sering terlibat dalam pergaduhan membabitkan kumpulan samseng pelajar lain.
"Akibatnya, saya dibuang sekolah kerana banyak kali melanggar janji untuk berubah sikap," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Yus, pada awalnya beliau seorang pelajar pintar dan ditempatkan di sebuah sekolah terkemuka di ibu negara pada pertengahan 1980-an.
"Saya dari keluarga sederhana, berasal dari Terengganu tetapi belajar di ibu
"Di ibu negara, saya berkenalan dengan sekumpulan pelajar yang mengaku menganggotai kumpulan Gagak Hitam dan saya diberitahu, jika menjadi ahli, saya akan dihormati pelajar lain dan boleh bergaul bebas," katanya.
Yus berkata, beliau pernah menjalani upacara sumpah setia Gagak Hitam dan hidupnya mula menyimpang apabila mula terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar sekolah.
Menurutnya, setakat yang diketahui, kumpulan itu telah dibubarkan tetapi muncul semula pada awal 1990-an sebelum dibubar sekali lagi tidak lama kemudian.
"Saya tak tahu kumpulan ini muncul semula tetapi setelah terbaca akhbar Kosmo!, hati saya tergerak untuk nasihatkan para pelajar sekolah jangan terlibat sebab ia merosakkan diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan