HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Ogos 2008

TERKINI

MRR2 retak lagi. Tiga batang prategasan putus secara tiba-tiba di rasuk jejembat
Oleh: Saiful Hazan Hasam dan Siti Athirah Dzulkifly


KUALA LUMPUR – Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah pun dibaik pulih menggunakan belanja tambahan RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.

Pagi ini beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu-batu jatuh dari salah satu rasuk jejambat itu dekat Stesen Komuter Kepong.

Selepas pemeriksaan, keretakan dikesan pada salah satu rasuk tiang jejambat itu. Tiga daripada 18 batang carbon fibre reinforced plastic (CFRP) prategasan yang dipasang pada struktur itu didapati putus secara tiba-tiba.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, CFRP tersebut digunakan pada rasuk 31 batang tiang jejambat berkenaan untuk menyelesaikan masalah keretakan yang pernah berlaku sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau keretakan itu, beliau berkata, walaupun tiga batang CFRP pada rasuk itu telah putus, MRR2 masih selamat digunakan kerana kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati jumlah minimum CFRP yang diperlukan hanya 12 batang.

Sehubungan itu, katanya, laluan di kedua-dua hala jejambat sepanjang 1.7 kilometer itu kembali dibuka kepada lalu lintas bermula pukul 5 petang ini selepas ditutup sejak pukul 10.30 pagi.

“Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, satu lorong paling kiri di kedua-dua belah jejambat akan ditutup kepada semua kenderaan sehingga rasuk pada tiang nombor 28 diperbaiki.

“Penutupan lorong itu adalah untuk mengurangkan beban yang ditanggung jejambat itu. Kerja-kerja membaikinya dijangka siap dalam tempoh tiga minggu,’’ kata Mohd. Zin.

Sebanyak 130,000 kenderaan, termasuk treler, menggunakan laluan itu setiap hari sehari.

Jejambat MRR2 di Kepong boleh menampung 5,000 kenderaan pada satu-satu masa. Ia menghubungkan kawasan Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Jejambat itu dan jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalu lintas sejak pukul 10.30 pagi ini berikutan keretakan dikesan pada rasuk salah satu tiangnya.

Pada bulan Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat pertama kali kerana ia mengalami masalah keretakan rasuk tiangnya. Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama yang memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos RM70 juta.

Mengulas lanjut, Mohd. Zin berkata, beliau telah mengarahkan unit jurutera pakar JKR untuk melakukan pemeriksaan forensik kejuruteraan terhadap struktur rasuk itu.

Katanya, jika masalah tersebut berpunca daripada kelalaian mana-mana pihak yang terlibat sama ada pembekal atau kontraktor, mereka akan dikenakan tindakan tegas.

“Pemeriksaan itu dibuat berasaskan prinsip kejuruteraan dengan melihat secara terperinci apakah yang telah berlaku kepada struktur tersebut yang masih bermasalah walaupun selepas dibaik pulih.

“Selepas pemeriksaan forensik selesai, saya akan minta JKR melakukan pemeriksaan pada rasuk lain yang telah dibaik pulih menggunakan CFRP,’’ katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan mendedahkan kepada umum hasil pemeriksaan forensik itu.

Katanya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak akan dilibatkan dalam pemeriksaan tersebut kerana langkah-langkah yang diambil JKR pada masa ini hanya berkisar kepada penyelesaian secara teknikal.

Ditanya mengenai kos membaik pulih rasuk itu, beliau berkata, kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan kerana ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor yang membina jejambat itu.

“Ia masih dalam jaminan kecacatan pembinaan yang akan berakhir hujung tahun ini,’’ katanya.

Tiada ulasan: