HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Ogos 2008

Sistem kesan jemaah haji di Mekah dan Madinah dibangunkan


PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) dan sebuah Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) sedang membangunkan satu sistem khusus bagi mengesan jemaah haji di Mekah dan Madinah semasa musim haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem yang menggunakan tag Radio Frekuensi Pengenalan Diri (RFID) itu akan diguna pakai oleh Lembaga Tabung Haji sebagai perintis untuk beberapa jemaah terpilih tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Amalan Terbaik Haji Melalui Kemajuan Sains dan Teknologi Kebangsaan kali kedua di sini malam ini beliau berkata, tahun lalu sistem itu digunakan untuk bagasi jemaah.

"Sekiranya sistem ini berjalan lancar, USM akan mencadangkan kepada kerajaan Arab Saudi (menggunakan sistem ini) bagi memudahkan negara itu mengendalikan pengurusan haji dengan lebih cekap dan berkesan," katanya.

Beliau berkata apabila sistem yang dibangunkan hasil penyelidikan USM dengan dibantu oleh Universiti Ummu AlQura, Mekah itu diguna pakai sepenuhnya nanti, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada kos peralatan itu.

"Diharapkan prototaip yang dibangunkan oleh Pernec Advanced Network Sdn Bhd ini akan memberi manfaat bukan sahaja untuk jemaah haji dari Malaysia, malah seluruh umat Islam dari seluruh dunia," tambahnya.

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyedia teknologi, penyelidik dan syarikat pengendali urusan haji menyertai seminar selama tiga hari yang bermula hari ini. BERNAMA

Tiada ulasan: