BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan tarikh sebenar pelaksanaan peralihan kuasa kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menamatkan teka-teki berhubung perkara itu.
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata ketidaktentuan itu menyebabkan timbul pelbagai persoalan di kalangan rakyat memandangkan banyak teka-teki yang dipaparkan akhbar berikutan tarikh peralihan kuasa berkenaan.
Beliau juga berpendapat keadaan itu turut menyumbang kepada prestasi lemah pasaran saham tempatan.
"Walaupun cakap Mac tetapi macam-macam persoalan timbul dengan banyak teka-teki dalam suratkhabar.
"Saya percaya ia menyumbang suasana tidak menentu. Saya percaya Bursa Malaysia terjejas oleh kerana suasana krisis kewangan global masih tenat tetapi mahu tidak mahu saya juga percaya ada kena mengena dengan soal kepimpinan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan Tambahan (2008) 2009 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam isu lain Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam sepatutnya meletakkan jawatannya itu selepas dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu minggu depan setelah didapati bersalah terbabit dalam politik wang.
Membahaskan rang undang-undang sama, Hamim Samuri (BN-Ledang) pula mencadangkan rebat petrol yang dibayar kepada pemilik kenderaan dilanjutkan bagi melegakan rakyat walaupun harga petrol sudah diturunkan.
Katanya ia sejajar dengan kegawatan ekonomi yang melanda sekarang.
"Walaupun sebelum ini kerajaan kata rebat ini dibayar sehingga Mac ini tapi saya cadangkan supaya ia dilanjutkan bagi melegakan rakyat," katanya.
Datuk Wira Ahmad Hamzah (BNJasin) semasa meminta penjelasan berkata pemilik kenderaan sepatutnya diberi baucer tunai untuk membeli minyak kerana terdapat cukai petrol dalam harga runcit minyak.
"Dengan itu kita tidak membazir dengan membayar Pos Malaysia (untuk perkhidmatannya)," katanya.
Hamim bersetuju dengan cadangan Ahmad tetapi turut mencadangkan supaya pembayaran rebat itu ditolak daripada jumlah cukai jalan yang dikenakan mengikut jenis kenderaan ataupun insurans kenderaan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan