SINAR HARIAN
IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar berharap isu beliau menggunakan khidmat 20 pengawal peribadi tidak disensasikan.
Beliau berkata, tindakan menggunakan pengawal peribadi itu merupakan langkah yang diambil untuk menjamin keselamatan dirinya.
“Sejak kebelakangan ini saya banyak membuat keputusan yang penting yang disokong oleh pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Malaysia.
“Ada juga yang tidak menyukai keputusan seperti penyokong dari parti politik tertentu, kerana itu saya perlu menjamin keselamatan diri saya,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan hari kelahiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang mengesahkan Sivakumar mempunyai ramai pengawal peribadi untuk memastikan keselamatan diri dan keluarganya.
"Angka dua puluh itu saya tidak boleh komen. Jumlah pengawal saya adalah berdasarkan majlis yang saya hadiri. Jika majlis itu kecil jumlah pengawal adalah kecil dan sebaliknya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesemua pengawal peribadi itu adalah sukarelawan dan perhidmatan mereka tidak dibayar.
“Ada yang terdiri dari Unit Amal Pas dan pihak sukarelawan yang lain. Mereka datang dengan kehendak mereka dan saya berterima kasih untuk perkhidmatan mereka,” katanya.
Seorang pengawal Sivakumar yang juga merupakan ahli Unit Amal Pas, Azlani Norman Bari, 35, berkata, pihaknya memberikan khidmat atas arahan dari pimpinan atasan dan kehendak mereka sendiri yang mahu memastikan keselamatan Sivakumar.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami menjaga keselamatan pemimpin kami dan kami bertindak tanpa sebarang bayaran dan paksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan