HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mac 2009

Polis akan mohon waran tangkap atas Hilmi

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Polis akan memohon waran tangkap terhadap bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sekiranya lelaki itu masih gagal tampil membantu siasatan berhubung kes penyebaran gambar separuh bogel ahli politik wanita tersebut.

Sehingga petang ini, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Hilmi, 32, masih belum tampil membantu siasatan walaupun polis telah mengeluarkan surat perintah mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah terhadapnya, minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, polis tidak mempunyai pilihan lain selain memohon waran tangkap daripada mahkamah untuk menahannya.

"Sekiranya Hilmi masih gagal tampil untuk memberi keterangan, polis terpaksa memohon waran untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Samah bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh yang ditetapkan untuk Hilmi tampil sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, surat perintah berkenaan telah diserahkan kepada bapa Hilmi ketika dia diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Sejak kes gambar separuh bogel Elizabeth tersebar di Internet bulan lalu, Hilmi tidak dapat dikesan dan dikatakan ke luar negara dipercayai Indonesia.

Tiada ulasan: