Oleh NORSHARUDDIN SAPIAN
LUMUT – Kira-kira satu bilion penduduk dunia dijangka akan mati dalam abad ini berpunca daripada kedegilan mereka untuk terus merokok.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tahap kesedaran yang rendah di kalangan masyarakat terhadap kesan di sebalik tabiat itu memburukkan lagi keadaan.
‘‘Pada abad ke-20, dianggarkan lebih kurang 100 juta orang mati disebabkan penggunaan tembakau dan tidak mustahil jumlah ini akan meningkat berdasarkan peningkatan jumlah perokok.
‘‘Malah berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah penghisap rokok semakin meningkat dan dikenal pasti bahawa merokok adalah antara punca utama yang menyebabkan kematian di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan minggu tanpa tembakau peringkat negeri Perak 2009 dengan tema ‘Amaran Kesihatan Bergambar’ di klinik kesihatan Sitiawan dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.
Hang Soon memberitahu, ketika ini terdapat kira-kira 1.15 bilion perokok di seluruh dunia dengan lebih 80 peratus mereka adalah penduduk daripada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana termasuk Malaysia.
Kajian yang dijalankan, katanya, menunjukkan bahawa penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok seperti jantung dan paru-paru boleh membunuh dengan nisbah seorang daripada 10 orang dewasa di seluruh dunia.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan termasuk penyediaan polisi dan inisiatif kesedaran untuk mencegah dan mengurangkan jumlah perokok telah dilakukan membabitkan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat.
‘‘Saya merayu dan mengesa mereka yang merokok untuk segera berhenti merokok dan jangan sesekali merokok bagi mereka yang belum lagi terjebak dalam gejala tidak berfaedah ini.
‘‘Merokok boleh memberi kesan negatif kepada tubuh badan bermula dari kepala hingga ke hujung kaki. Kos untuk rawatan juga tinggi sedangkan ia boleh dicegah dengan cara paling mudah iaitu jangan merokok,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan