UTUSAN ONLINE
KUANTAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menyarankan masyarakat menggunakan istilah ‘Orang Kita’ apabila merujuk kepada masyarakat Orang Asli agar nampak lebih mesra dan lembut.
Menurut baginda, masyarakat peribumi itu sendiri telah menggunakan istilah ‘Orang Kita’ dalam percakapan seharian bagi menggambarkan kaum mereka.
‘‘Keunikan masyarakat ini sentiasa menarik perhatian dan minat saya untuk lebih mendekati serta bermesra dengan mereka.
‘‘Jika berpeluang bersama mereka, selalunya saya lihat mereka lebih gemar dikenali sebagai Orang Kita dan selesa dipanggil dengan gelaran tersebut berbanding gelaran Orang Asli,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Buku Haknuk dan Karnival Usahanita di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini semalam.
Buku Haknuk dihasilkan daripada pengalaman 13 pelajar dan kakitangan UMP ketika menjalankan Projek Semaian Kasih bersama suku kaum Semai di Kampung Kuala Boh, Cameron Highland pada 16 Oktober tahun lalu.
Perkataan Haknuk adalah bahasa kaum Semai yang bermaksud Kasih dan ia menjadi inspirasi kepada pelajar sulung Orang Asli di UMP, iaitu Maslinda Samad bagi mencapai kecemerlangan.
Tunku Azizah menambah, syor agar penggunaan istilah Orang Asli ditukar kepada Orang Kita dibuat supaya tidak menampakkan sebarang jurang antara masyarakat dengan suku kaum berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan