HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2009

Bersedia hadapi kenaikan harga minyak dari sekarang - Pensyarah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR 10 Jun - Ambil iktibar daripada kenaikan harga minyak tahun lalu.

Demikian pendapat yang diberikan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani mengenai jangkaan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Menurutnya, satu perancangan teliti perlu dilakukan bagi mengelak kenaikan seperti sebelum ini berulang sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Meskipun kenaikan itu nanti tidak akan memberi kesan ketara kepada pemulihan ekonomi negara, kita perlu bersedia dari sekarang.

"Ini kerana kita tidak mahu kenaikan seperti tahun lalu iaitu sehingga 2.70 seliter berulang kembali sehingga melonjakkan kadar inflasi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai jangkaan kenaikan harga minyak di pasaran dunia sejajar pemulihan ekonomi global yang sedang berlaku ketika ini.

Namun kenaikan itu diramal tidak berlaku secara mendadak seperti pernah dicatatkan pada tahun 2007 dan separuh pertama 2008.

Mohd. Fauzi menjelaskan, meskipun Malaysia merupakan antara negara yang fleksibel, keadaan sedemikian tidak seharusnya menjadi alasan untuk negara mengambil sikap sambil lewa.

Katanya, kerajaan perlu terus menggunakan kelebihan yang dimiliki negara ini dalam menghadapi tekanan daripada krisis semasa global.

"Bagi saya, ia adalah 'peringatan' secara tidak langsung Perdana Menteri, jadi kerajaan seharusnya menyediakan program alternatif seperti membaiki sistem pengangkutan awam negara dan sebagainya.

"Ini kerana jika kita tidak bergantung pada penggunaan petroleum, ekonomi negara tentunya tidak terjejas dengan ketara," ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin pula berkata, kenaikan harga minyak pasaran global merupakan perkara biasa kerana sehingga kini kenaikan masih di tahap yang munasabah.

"Harga minyak akan naik dan turun bila-bila masa. Keadaan ini baik untuk pembekal dan pengguna," jelasnya.

Tiada ulasan: