Daripada Zaharah Othman
LONDON: Perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, yang berhasrat merentasi Selat Inggeris dari Dover ke Calais awal Julai ini berasa lega setelah dibenarkan memakai pakaian renang Muslimahnya.
Zahra yang tiba minggu lepas bersama jurulatih Mohamad Arof dan adiknya Salman Ali Shariati, 12, gigih membuat latihan dalam persediaan berenang menyeberangi selat yang sejauh antara 34 hingga 37 kilometer.
“Pada mulanya, pihak Channel Swimming & Piloting Federation (CS&PF) agak tidak yakin untuk membenarkan saya pakai pakaian yang menutupi seluruh badan seperti itu kerana takut ada pihak lain yang mempertikaikan peraturan cara pemakaian saya yang kononnya ia dapat memberikan saya kelebihan supaya saya tidak rasa begitu sejuk ketika berenang.
“Namun selepas perbincangan dengan Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B), pihak (CS&PF) membenarkan saya memakai pakaian itu dengan syarat saya tetap diiktiraf sebagai perenang yang menyeberangi Selat Inggeris tetapi saya cuma tidak mengikut etika peraturan pemakaian yang ditetapkan,” kata Zahra dalam perbualan telefon semalam.
Katanya, “Mereka tiada masalah sekiranya saya berpakaian sedemikian. Saya tetap dibenarkan berenang walaupun ini kali pertama pihak (CS&PF) menguruskan perenang Islam.”
Menurut peraturan Persekutuan Renang & Pengemudian Selat, perenang yang mengambil bahagian dikehendaki memakai pakaian dan topi yang bukan diperbuat daripada neoprene atau getah atau apa-apa bahan yang dianggap oleh Persekutuan ini akan memberi faedah, dan dalam apa cara sekalipun dibuat untuk menahan kepanasan tubuh, dan membantu pengapungan.
Meskipun dengan cuaca yang berubah menjadi sejuk dengan suhu jatuh ke 12 darjah selsius, Zahra giat berlatih dan menambahkan masanya di dalam air selama lebih daripada sejam.
Menurut Arof, latihan bermula pada jam 4.30 pagi dan Zahra mandi dengan air sejuk sebelum berenang di laut. Renangan pertama cuma setengah jam setiap kali dan secara beransur ditambah. Pemakanannya juga diubah untuk menambahkan berat badannya.
Zahra gadis Islam yang termuda untuk merentasi Selat Inggeris jika dia berjaya berbuat demikian awal Julai ini. Pada 2003, Datuk Malek Mydin berjaya menjadi rakyat Malaysia pertama merentasi selat itu dengan masa 17 jam 35 minit dan setahun selepas itu pula Lennard Lee berjaya melakukannya dalam masa kurang sepuluh jam.
Adiknya Salman juga turut berlatih walaupun dia tidak dibenarkan dalam renangan merentasi selat ini disebabkan usianya yang terlalu muda.
Ibu mereka, Haniza Mohamed, pensyarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh dijangka akan tiba di Dover untuk bersama mereka minggu depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan