Oleh Siti Fatimah Hassan
NARATHIWAT (SELATAN THAILAND): “Apa yang difikirkan hanya saat kematian. Namun saya berusaha merangkak di celah jemaah tercedera dan berlumuran darah sambil menuju ke stor dalam masjid sehingga penyerang melarikan diri,” kata Nasir Ibrahim, 42, yang terselamat dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan dalam Mukim Cho Airong, malam kelmarin.
Nasir yang menceritakan semula kejadian itu berkata, dalam insiden kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu, mereka dikejutkan dengan tembakan secara tiba-tiba yang muncul dari arah belakang dan tepi ketika imam membacakan surah al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak.
“Tiba-tiba, tembakan bertalu-talu dilepaskan ke dalam masjid berterusan kira-kira 10 minit. Ketika itu, saya lihat ramai jemaah rebah terkena tembakan.
“Keadaan amat cemas dan saya tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Saya berada di hujung saf sebelah kanan dan cuba merebahkan badan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, tindakan kejam itu mengorbankan imam, Wan Abdullah Wan Latif, 62, bersama sembilan lagi jemaah, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat selain 11 mangsa parah kini dirawat di hospital sama.
Isteri Wan Abdullah, Yah Che Kob, 58, berkata dia terdengar bunyi tembakan bertalu-talu dari arah masjid kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
“Bunyi tembakan itu amat menggerunkan menyebabkan saya bergegas masuk ke dalam rumah dan berlindung di sebalik pintu.
“Kemudian, terdengar pula jeritan orang kampung mengatakan masjid diserang. Saya ketika itu hanya mampu berdoa untuk keselamatan suami,” katanya.
Menurutnya, jenazah suaminya hanya dikeluarkan dari masjid itu kira-kira jam 7 pagi semalam, selepas pasukan tentera tiba di lokasi terbabit sejurus serangan itu menyelesaikan siasatan.
Jenazah jemaah terkorban dalam masjid disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung terbabit kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.
Tinjauan Harian Metro semalam, mendapati terdapat kesan darah mangsa terkena tembakan berlumuran di lantai masjid selain kesan tembakan membolosi dinding serta cermin masjid.
Manakala penduduk kampung terus meratapi kehilangan mangsa termasuk Wan Abdullah selain dibayangi saat mengerikan dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang sempat meninjau kawasan berkenaan kesal dengan apa yang berlaku sambil mengutuk penyerang tidak berperikemanusiaan itu.
“Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati penduduk di Selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya ingin melihat Selatan Thailand terus dalam pergolakan,” katanya.
Kejadian itu insiden tembakan paling buruk dalam masjid di wilayah selatan. Pada 28 April, 2004, 108 puak disyaki pemberontak terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan di tiga wilayah di selatan, termasuk 32 orang dalam Masjid Krue Se berusia 300 tahun di Pattani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan