Oleh Mohd Sayuti Omar
SELEPAS muktamar selesai membuat pilihan barisan kepimpinan baru PAS pada Sabtu lalu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang kini 'pening-pening' kepala untuk melantik beberapa orang pegawai yang akan membantunya dan barisan kepimpinan baru itu.
Pegawai-pegawai yang dimaksudkan ialah Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan.
Ketiga-tiga jawatan ini adalah tanggungjawab jawatankuasa kerja pusat dan presiden dilihat sebagai berkuasa melantiknya. Selain itu beberapa jawatankuasa tambahan juga akan dilantik bagi memperkuatkan lagi jawatankuasa atau barisan kempinan Pas.
Khabarnya malam ini Dewan Harian akan bersidang buat pertama kali. Presiden akan membentang nama-nama pegawai yang akan dilantik untuk penilaian bersama. Biasanya tiga pegawai penting yang menjadi nadi kepada jemaah ini dipilih dari kalangan ahli jawatankuasa agung.
Mana-mana ahli yang tidak termasuk dalam ahli jawatankuasa agung akan dilantik terlebih dahulu sebelum ianya diendorsekan perlantikannya oleh jawatankuasa kerja Pas pusat.
Sekarang ini sudah berlaku lobi melobi untuk disikan ke jawatan berkenaan. Lobi ini perkara biasa tetapi kruang manis bagi jemaah seperti Pas. Pelobian ini seolah-olah mereka meminta jawatan untuk orang tertentu. Sedang dalam Islam jawatan diberikan kepada mereka yang layak baik dari segi tubuh badan ataupun fikh.
Lebih malangnya lagi pelobi untuk jawatan ini dilakukan sendiri oleh dua naib presiden.
Mahfuz Omar telah mencadangkan supaya Mohamad Sabu dan Husam Musa diberi tempat dalam Dewan Harian. Ianya disokong penuh penuh oleh Sallahudin Ayub. Tindakan kedua naib presiden ini menampakkan sangat mereka adalah dari kumpulan yang menyokong calon presiden yang tewas itu.
Sebenarnya adalah elok kalau Pas memberi perhatian dan tidak mencicirkan peranan kedua calon presiden yang kalah itu dan juga calon-calon lain. Tetapi apabila ianya dilobi sendiri oleh naib presiden ianya kurang elok dan menampakkan kedua naib presiden itu kurang profesional dan masih kelihatan sebagai budak suruhan!
Biarlah kerja-kerja melobi ini dilakukan agen atau broker bertaraf kaki lima yang berbuat demikian. Baik Mahfuz atau Sallahuddin tidak payah melobi di media massa. Mereka adalah anggota Dewan Harian yang boleh bercakap dengan presiden. Apakah mereka terlupa dan belum sedar bahawa mereka bukan lagi belaci kepada mana-mana tokoh tetapi mereka adalah naib presiden yang dipilih dengan oleh para muktamar.
Jika dipadankan dalam Umno mereka setaraf dengan Ahmad Zaid Hamidi dan Shafei Afdal. Tidak terdengar pun semasa presiden Umno nak lantik pegawai parti dua naib presiden Umno itu bercakap melobi mana-mana calon. Walaupun Umno banyak buruk tetapi perangai yang baik harus ditiru oleh naib-naib presiden Pas.
Inilah bahananya kalau kita begitu mesra media pantang lihat wartawan atau surat khabar terus untuk bercakap tanpa menyedari kapasiti diri dan menjaga martabat diri. Misalnya dalam mesyuarat Dewan Harian malam ini, Mahfuz dan Sallahuddin boleh mengemukakan kedua nama calon yang kalah itu untuk dipertimbangkan apa-apa jawatan sesuai.
Mereka sudah ada saluran langsung dengan presiden dan anggota Dewan Harian lain kenapa tidak dinantikan kesempatan berjumpa untuk mengemukakan nama kedua mereka itu? Selepas itu terserah untuk presiden membuat pemilihan. Kerana sebagai presiden Abdul Hadi tetap mempunyai kuasa prerogatif mengenai perlantikan itu.
Harus juga diingat bukan sahaja dua calon naib presiden yang kalah mempunyai pengaruh dan merupakan permata yang berkilau, tetapi calon-calon lain juga. Mujahid Yusuf Rawa, Mohd Amar Nik Abdullah yang tewas di kerusi naib presiden juga adalah permata yang akan berkilau kalau dikilat dan di kiwi. Malahan mereka ini mungkin akan lebih cerah dan suci dari batu yang ada sekarang ini.
Begitu juga dengan calon-calon ahli jawatankuasa kerja, seperti Khalid Samad, Abdul Halim Abdul Rahman, Annuar Tan Abdullah dan lain-lain mereka juga ada kualiti dan kelebihan tersendiri. Jangan hanya nampak mereka yang senantiasa 'berbagar' di hadapan muka saja.
Dalam perkembangan lain beberapa nama sudah disebut untuk diisikan menjadi Setiausaha Agung, Bendahari dan juga Ketua Penerangan. Kamaruddin Jaaffar dikatakan tidak lagi bersedia untuk dilantik menjadi setiausaha agung kerana isterinya sakit. Kesihatan isterinya harus diberikan keutamaan daripada jemaah. Selama ini pun beliau banyak mengorbankan masa untuk Pas sehingga terabi rumah tangganya.
Sebagai mengganti Kamaruddin, ada dua nama disebut; Mustafa Ali dan Takiyuddin Hassan, yang juga Setiasuaha Badan Perhubungan Pas Kelantan. Mustafa adalah tokoh veteran yang masih aktif dan banyak memberi sumbangan kepada parti. Takiyuddin yang juga Exco kerajaan Kelantan khabarnya bersedia untuk meninggalkan kerusi Exco sekiranya dilantik menjadi Setiausaha Agung bagi menumpukan perhatian kepada jawatan itu.
Satu nama lagi ialah Idris Ahmad. Bagaimana pun nama Idris mungkin tidak sesuai untuk jawatan Setiausaha Agung, sebaliknya lebih wajar kalau dilantik menjadi Ketua Penerangan. Ada juga yang mengira Ketua Penerangan diberikan kepada Mohammad Sabu memandangkan beliau rajin turun ke bawah dan sesuai dengan karektornya sebagai penceramah popular.
Jawatan Bendahari yang kini disandang oleh Dr Hatta Ramli juga akan ditukar ke penjawat baru. Nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan Bendahari ialah Hassan Ali. Bagaimana pun adalah wajarnya juga kalau Bendahari diserahkan kepada calon timbalan presiden yang kalah, Husam Musa memandangkan beliau ligat dan arif dalam mencari wang untuk tabung parti.
Selain nama-nama itu, nama Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas MB Perak juga boleh dipertimbangkan untuk dilantik memenuhi mana-mana jawatan utama memandangkan karismatik dan populariti beliau dari kalangan pengundi di muktamar.
Kedudukan siapa bakal mengisi jawatan-jawatan itu serta perlantikan beberapa ahli jawatankuasa kerja tambahan akan diumumkan esok selepas jawatankuasa kerja mengadakan mesyuaratnya yang pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan