KUALA SELANGOR – Belum reda isu pencerobohan tanah hutan simpan kerajaan negeri oleh Kementerian Pertanian di Tanjung Karang baru-baru ini, kini timbul pula masalah sama di Kampung Bagan Pasir Penambang apabila ada cubaan untuk membina sebuah jeti konkrit secara haram di Kuala Selangor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, akibat pencerobohan itu laluan konkrit yang dibina kerajaan negeri didapati dirobohkan oleh pihak tertentu.
Susulan tindakan itu, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan pusat yang tidak menghormati undang-undang kerana membina jeti persendirian tanpa permohonan dan perbincangan terlebih dahulu.
“Projek daripada Jabatan Perikanan Malaysia, untuk membuat satu jeti di tebing sungai belum dapat kebenaran kelulusan dari pejabat daerah dan juga Majlis Daerah Kuala Selangor dan telah mulakan kerja mereka. Kontraktor tersebut telah memcahkan sebahagian jalan konkrit di kampung, setelah kita mendapat aduan daripada penduduk kita datang untuk buat siasatan dan dapati dakwaan itu benar dan melanggar undang-undang. Saya telah meminta pihak daerah dan majlis untuk ambil tindakan dengan segera” kata Ean.
Beliau berkata struktur laluan konkrit ini dipercayai dirobohkan kontraktor kepada Jabatan Perikanan pada akhir Julai lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan jeti persendirian yang dijangka siap pada awal Disember nanti.
Jelas Ean, pada asanya jeti ini dibina berdasarkan kepada permohonan daripada bekas Ketua Kampung Bagan Pasir Penambang, Lim Kah Min kepada agensi kerajaan tersebut yang diluluskan baru-baru ini bernilai RM260,000.
Sehubungan itu kerajaan negeri mengarahkan kontraktor terbabit menghentikan kerja-kerja membina jeti terbabit serta merta dan membina semula laluan konkrit yang dirobohkan terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan kerja-kerja mereka setelah mengemukakan permohonan terbabit kepada Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kuala Selangor.
Majoriti penduduk di sini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pembinaan jeti berhampiran kediaman mereka kerana khuatir membahayakan nyawa penghuni di sini kebanyakan warga emas dan kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan