SRI DIAH
Seorang pakar psikiatri berpendapat daripada aspek psikologi, kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, tidak saja berimaginasi tetapi menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan itu.
Tidak dinafikan seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.
Kelangsungan daripada kenyataan itu, perlakuan ganas seperti buli, bunuh rakan sebaya dan dera yang banyak berlaku sekarang, sebahagiannya berpunca daripada ibu bapa ‘mengasuh’ anak mereka bermain permainan ganas dan tidak berperikemanusiaan tanpa kawalan.
Ada permainan yang tidak saja memaparkan keganasan antara lelaki dengan lelaki, tetapi lelaki dengan wanita. Dipaparkan dengan nyata babak lelaki tendang wanita yang kononnya sebagai musuh. Begitu juga sebaliknya babak wanita pukul lelaki untuk dimartabatkan sebagai heroin dan pembela kaum sejenisnya.
Bayangkan perlakuan babak ganas ini dimainkan di dalam rumah. Saban masa terluang anak-anak itu terus dengan dunia keganasan demi keganasan daripada satu babak ke satu babak dengan seluruh emosi mereka.
Kemudian situasi itu telah masuk merasuk dalam minda mereka. Diam tak diam mereka terdidik dengan plot atau babak siri berkenaan serta misi demi misi kemusnahan, pembunuhan dan dunia yang huru-hara.
Situasi ini diburukkan dengan kurangnya pemantauan keluarga dan pihak berkuasa menyebabkan permainan video ganas serta tidak berperikemanusiaan mudah dibeli di pasaran terbuka. Amat murah dan boleh ditukar sesama rakan.
Kini, setelah bertahun-tahun dunia permainan ini bertapak dalam negara kita, ia sudah tertanam dalam minda anak-anak yang kian dewasa, dan mulalah dunia sekarang mengeluh apabila anak-anak muda kian ganas.
Semua ini menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan tidak berperikemanusiaan, sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Mereka menjadi insan pembuli yang liar dan tidak ada rasa belas kasihan.
Mereka sentiasa mahu menang, membunuh untuk menjadi hero dan gembira serta seronok pula melihat orang lain cedera, menderita dan kesakitan dengan darah merah mengalir...
Dalam permainan video, mereka belajar selok-belok bagaimana mahu membunuh. Mereka dijanjikan kemenangan jika berani dan sanggup bertindak sadis, dan segala masalah akan selesai dengan membunuh. Masya-Allah!
Jangan pelik jika tersiar berita anak muda baru setahun jagung sanggup melakukan perbuatan kejam seperti merompak, merogol, membunuh, membakar mangsanya dan ditinggalkan di dalam longkang di tepi lebuh raya.
Itu adalah hakikat. Itu adalah akibat apabila dalam diam kita merelakan pendidikan 'bagaimana mahu bertindak ganas’ berlaku di dalam rumah sendiri.
Anak-anak muda ini bertindak di luar batasan demi memperoleh reaksi masyarakat. Mereka mahu meningkatkan imej diri di mata rakan sebaya. Mahu menunjukkan kebolehan diri menguasai orang lain dan persekitaran serta menimbulkan rasa gentar orang lain terhadap mereka.
Walaupun tindakan itu berbahaya dan boleh mengancam nyawa sendiri atau orang lain, mereka menganggap sebaliknya. Bagi mereka, lebih hebat apa yang dilakukan, lebih tinggi penghormatan masyarakat.
Pakar psikologi dan penyelidik di SUNY Stonybrook, Elaine Aron, berkata trauma dan tekanan persekeliling juga boleh menjadikan mereka ganas kerana mahu keluar daripada kepompong mimpi ngeri.
Menurutnya, ibu bapa seharusnya boleh melihat perbezaan emosi dan perlakuan pelik anak dan mengambil tindakan menangani dengan membawa mereka berjumpa pakar psikologi atau psikiatri.
Malangnya, kebanyakan ibu bapa ambil pendekatan tidak nampak atau anggap tiada apa-apa. Ini memburukkan keadaan manakala anak cari penyelesaian sendiri walaupun salah.
Jika semua hal yang saya kemukakan ini sudah nampak bunga-bunga `tahi ayam’ dalam keluarga, apakah yang patut anda lakukan? Bunga tahi ayam tak mungkin bertukar menjadi bunga ros. Namun mahu membiarkan tahi ayam itu terus berkembang atau dipatahkan kudupnya, pilihannya dalam tangan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan