ALOR SETAR - Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini, merupakan satu-satunya pemimpin bukan daripada Umno yang memegang jawatan Menteri Besar Kedah sejak negara merdeka pada 1957.
Kejayaan pakatan pembangkang yang diketuai oleh Pas merampas Kedah daripada BN ketika PRU12 menyaksikan buat pertama kali pemimpin Pas dipilih sebagai ketua kerajaan Kedah.
Menteri Besar Kedah yang kesembilan itu memperkenalkan slogan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' sebagai panduan pentadbirannya yang bermula dari 2008 sehingga 5 Mei lepas.
Allahyarham yang juga pesuruhjaya Pas Kedah itu terkenal sebagai pemimpin tegas selain tidak gentar "melawan arus" dalam parti atau kerajaan pusat ketika membuat keputusan berhubung pentadbiran negeri.
Beliau sering berkata tindakannya adalah mengikut "cara Kedah" kerana apa yang berlaku di Kedah tidak sama dengan negeri-negeri lain di bawah pakatan pembangkang, termasuk Kelantan yang turut diteraju oleh Pas.
Paling ketara, beliau enggan mengikut semua janji pakatan pembangkang yang terkandung di dalam Buku Jingga kerana baginya buku itu bukan al-Quran yang wajib dipatuhi sepanjang masa.
Contoh jelas ialah ketika beliau menangani isu Kolej Universiti Insaniah milik kerajaan negeri, yang menyaksikan beliau mengambil tindakan menyamai peruntukan dalam Akta Kolej Universiti (Auku) sebelum akta itu dipinda.
Beliau tidak kisah dihentam, baik oleh parti sendiri, parti sekutu mahupun BN jika beliau berasakan keputusannya adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Kedah.
Azizan yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Kent, secara peribadi dihormati oleh anggota dan pemimpin Umno serta BN kerana sering menggelar perdana menteri dan timbalan perdana menteri sebagai "bos saya" dari segi undang-undang, sekalipun berlainan parti.
Allahyarham sering dikritik oleh pemimpin seperjuangannya kerana kerap menyokong dan menghadiri program anjuran kerajaan pusat. Bagi beliau tidak salah menyokong program yang baik tanpa mengira siapa penganjurnya.
Azizan mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sejak 1995 dan berjaya mempertahankannya walaupun dalam keadaan uzur ketika PRU13 Mei lalu, membuktikan pengaruh beliau cukup kuat.
Beliau menang dengan majoriti besar 2,774 undi mengatasi calon BN Fazillah Mohd Ali yang juga sepupunya.
Orang politik termasuk daripada Pas sendiri melabel beliau sebagai "cenge" (garang), namun ketika bersama rakyat Azizan seorang yang mesra dan mudah didekati.
Sepanjang lima tahun pentadbirannya, Azizan tidak kisah dikritik oleh media jika kritikan berlandaskan fakta yang benar serta berterima kasih kepada media kerana baginya ada perkara yang beliau tidak tahu.
Sebelum menyertai politik, beliau pernah menjadi tutor di Maktab Mahmud di sini selain pernah berkhidmat sebagai ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Allahyarham menyertai Pas pada 1978 dan menjadi setiausaha Pas Kedah dari 1995 hingga 1999 sebelum dipilih menjadi pesuruhjaya Pas Kedah pada 2000, jawatan yang disandang sehingga kematiannya hari ini.
Pada Julai 2011, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dada dan pemeriksaan pakar mendapati satu daripada saluran ke jantungnya bermasalah. Beliau menjalani pintasan koronari pada 2004.
Pada 6 Mei lepas, Azizan yang menghadapi masalah bengkak kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)pada keesokannya.
Kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis. Selepas tiga bulan dirawat di HPP, beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi HSB.
Pada 21 Ogos lepas, beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau di HSB.
Semalam beliau dilapor berada dalam keadaan kritikal susulan masalah jantung dan hari ini pada pukul 11.05 pagi, Azizan disahkan meninggal dunia. Beliau berusia 69 tahun.
Sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun lepas, Azizan dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri'. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan