Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran menafikan beliau cuba menjadi "hero" ketika membangkitkan usul petisyen rayuan kes kematian dalam tahanan di Parlimen semalam sehingga dihalau keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat.
"Bukan tujuan saya (jadi hero). Saya ada rekod 15 tahun berjuang untuk kes kematian dalam tahanan," katanya kepada The Malaysian Insider di Parlimen hari ini.
Naib Presiden PKR itu berkata, semua kes kematian dalam tahanan yang diperjuangkan selama ini juga dilakukan atas dasar kemanusiaan, tanpa sebarang bayaran.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika sidang media di kamar Speaker berkata, Surendran ketika membangkitkan usul berkenaan sebelum sesi soal jawab lisan di Parlimen semalam tidak menjelaskan dengan terperinci, sama ada beliau mempunyai hubungan komersial dengan keluarga kes kematian dalam tahanan, Karuna Nithi Palani Velu atau tidak.
"Surendran perlu isytihar sama ada beliau peguam kepada keluarga si mati," kata Pandikar Amin kepada pemberita.
Surendran bagaimanapun berkata, tidak timbul isu konflik kepentingan peribadi kerana beliau berjuang atas tiket peguam hak asasi manusia.
Pemimpin muda PKR itu yang dihalau keluar Sidang Dewan Rakyat semalam, menjadi ahli Parlimen pertama dihalau untuk sidang kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan