Aqilah Radzuankaidi
JASIN - Individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka, Raja Noor
Jan Shah telah ditahan di Jeti Anjung Batu, Serkam kira- kira jam 10.45
pagi tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Penahanan itu berlaku susulan satu laporan polis dibuat oleh Majlis
Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Balai Polis Ayer Keroh, petang semalam,
bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan Noor Jan yang mengaku
sebagai Sultan Melaka.
Laporan polis yang dibuat itu diketuai Presiden MGBM, Zali Mat Yasin
dengan diiringi beberapa ahli EXCO majlis belia berkenaan, antara lain
memohon supaya polis bertindak segera ke atas individu terbabit bagi
mengelak lebih ramai masyarakat keliru dengan dakwaan dibuatnya selama
ini.
Sementara itu, kerajaan negeri menerusi kenyataannya semalam meminta
pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas seorang ahli perniagaan yang
mendakwa sebagai Sultan Melaka kerana ia mencabar Perlembagaan
Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata, tuntutan individu itu
juga mencemar institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua bagi
Negeri Selat membabitkan Melaka dan Pulau Pinang selain Sabah serta
Sarawak.
"Noor Jan didapati mencabar Perlembagaan yang digubal dan dipersetujui
secara bersama oleh semua pihak di negara ini dan tiada sebab beliau
mahu menafikan apa yang sudah ditetapkan dalam perlembagaan.
"Sekarang, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak mengikut
undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada orang ramai yang keliru
dan terpedaya dengan gelagat beliau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan