HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Kedatangan 2014 telah mendatangkan kerasahan cukup ketara di kalangan rakyat kebanyakan.
“Mewakili suara OKU di Malaysia, ingin kami nyatakan tentunya suasana semasa lebih lagi mendatangkan keresahan kepada sekalian OKU dan ahli keluarga yang mempunyai anak-anak OKU,” ujar Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof.
Jika selama ini, katanya golongan OKU telah cukup sukar dalam melalui liku-liku kehidupan, dengan keadaan peningkatan kos hidup dan suasana yang serba tidak menentu, ia menambahkan lagi rasa resah di kalangan warga OKU dan ibu bapa anak-anak OKU.
Apatah lagi, kata beliau sehingga kini pihak kerajaan masih gagal membentangkan suatu perancangan konkrit berikutan belanjawan 2014 yang dibentangkan Oktober lalu untuk membangunkan warga OKU yang dianggarkan 15% dari jumlah 29.7 juta rakyat.
“Justeru, kami menggesa agar pihak kerajaan dengan penuh hemah dan bijaksana menangani setiap kebimbangan rakyat terhadap kesejahteraan hidup menjelang 2014,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan