ASPAN ALIAS
Dalam pada rakyat berjuang untuk
pembaharuan sebagai sebuah negara yang tidak bergiat dengan kegiatan ini ada
pula pemimpin sebuah parti yang bersekutu dengan PAS membuat seruan yang
bertentangan sekali dengan perjuangan PAS. PAS selama ini telah memperjuangkan
nilai-nilai Islam dan telah mengkritik UMNO kerana meluluskan lesen
berbagai-bagai jenis perjudian, dan itu adalah salah satu sebab utama kenapa
orang Melayu berpindah menyokong PAS.
Tetapi PAS yang menunjangi
perjuangan menentang UMNO itu telah bersama sebuah parti yang bersetuju
perjudian itu diteruskan dan mengasingkan akaun kerajaan yang menerima hasil
dari cukai judi itu. Saya khuatir jika perjuangan PAS, sebuah parti yang terbaik
dikalangan yang ada dinegara ini tercemar lagi setelah dibuktikan dalam
pilihanraya yang lalu terjejas dengan isu ALLAH yang dimainkan oleh DAP.
Rakyat ramai dikampung-kampung
dan desa yang menyokong PAS terpaksa berada dalam kedudukan defensif dalam
pilihanraya lalu. PAS akhirnya tidak dapat penambahan kerusi malahan telah hilang
satu kerusi dari 21 yang diperolehinya dalam pilihanraya 2008. UMNO telah memainkan
isu itu dengan menuduh PAS sebagai parti yang tercemar kerana bersekutu dengan
parti yang tidak menghormati umat Islam.
Akhirnya DAP mendapat penambahan
kerusi dan pada hakikatnya UMNO lah yang menambahkan kerusi DAP ‘at the expense
of PAS’. Di sini DAP patut berterima kasih kepada UMNO kerana isu yang UMNO
mainkan terhadap PAS itu memberikan kelebihan kepada DAP dalam pilihanraya yang
lalu. UMNO dan DAP sama-sama mendapat tambahan kerusi.
Kalau kita lihat dan melawat
kawasan di luar-luar bandar semasa pilihanraya dahulu, BN dan UMNO telah
memainkan isu ALLAH yang di sebut oleh Setiausaha Agung DAP semasa ucapan Hari
Krismas beliau pada tahun 2012 dahulu. Saya sendiri melihat PAS yang saya bantu
semasa ceramah keseluruh negara, tidak dapat menjawab isu yang dimainkan
terhadap PAS oleh BN di bawah-bawah sana.
Ramai yang berbisik kepada saya
selagi isu yang disebut oleh DAP dalam ucapan hari natal itu tidak dapat
diselesaikan biarlah mereka bersama dengan BN lagi. “Yang baru belum tentu ada
kebaikannya” kata ramai yang menemui saya. Saya telah menyebut isu ini beberapa
kali yang PAS sebagai parti harapan umat Islam benar-benar tercalar dan menjadi
korban rakan dalam ‘coalition’ nya sendiri.
Akhirnya UMNO dapat menambah 9
kerusi dan DAP berjaya menambah 10 kerusi di Dewan Parlimen sedangkan PAS
terpaksa menerima kehilangan satu kerusi. Saya telah menghabiskan masa dan
waktu bersama program PAS sebulan sebelum pembubaran Parlimen dan saya amat
sedih melihat unit amal PAS yang bertungkus lumus dengan jujur dengan komitmen
yang tinggi hanya memberikan keuntungan kepada DAP tetapi tidak memberikan
keuntungan kepada PAS sendiri.
Jelas oleh kerana terlalu
‘obsessed’ dengan cita-cita hendak ke Putrajaya DAP, parti itu tidak pun
mempunyai hati untuk selari serta sehayun dan selenggang dengan parti rakan
kongsinya dan membiarkan rakan kongsi terkial-kial dengan masalah dan isu yang
disemarakkan oleh DAP sendiri.
Hanya saya berharap PAS tidak
terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua kali apabila sampai
pilihanraya ke15 nanti. Sekarang PAS sedang dipinggir lubang yang kedua, iaitu
isu perjudian dengan DAP. Kalau boleh janganlah jatuh pula kedalam lubang kedua
yang digali oleh DAP ini kerana ia akan mengecewakan orang ramai yang telah
begitu sengsara dengan gelagat UMNO selama ini.
Lubang yang kedua ini lebih dalam
dari lubang yang pertama dahulu. Lubang yang pertama dahulu masih belum
terkambus dan sekarang terjumpa pula lubang yang kedua. Saya berharap sangat
agar PAS tidak lagi terbeban dengan isu yang ditimbulkan oleh rakan sendiri.
Berhadapan musuh yang nyata dihadapan lebih mudah di selesaikan dari
mengendalikan musuh dalam kabilah atau selimut kita sendiri.
Saya yakin ramai di dalam PAS dan
UMNO sendiri tidak bersetuju dengan kerajaan UMNO meluluskan berpuluh lesen
perjudian akhir-akhir ini. Tetapi tidak mungkin perjudian menjadi isu langsung
kepada DAP kerana DAP itu dianggotai oleh mereka yang bukan beragama Islam kecuali beberapa kerat yang
Islam didalamnya. Itu bukan salah DAP juga.
Satu hakikat yang nyata hari ini
arus perkembangan Islam sedang bertiup diseluruh dunia termasuk di negara kita.
Ia juga bertiup dalam UMNO walaupun pimpinannya tidak mempedulikan isu ini.
Bukan sedikit jumlah ahli-ahli UMNO sendiri yang menentang kewujudan tempat-tempat
perjudian ini.
Itu sebabnya saya tidak mempunyai
rasa minat untuk menentang bertemuan dan perbincangan di antara UMNO dengan PAS
dan selesaikan masalah-masalah yang berhubung kait dengan agama dan hal-hal
yang lain yang lain yang berhubung dengan negara kita. Jika ia berlaku PAS
tidak akan kedengaran lagi ayat-ayat seperti “over my dead body’ dan sebagainya
dalam bercakap hal agama Islam ini. Itu semua mengganggu perjuangan parti ini.
Yang pentingnya dengan pemimpin
mana PAS boleh berunding dengan UMNO itu. Jika terjumpa orangnya mungkin usaha
PAS untuk menghalang kegiatan judi di negara ini dapat di selesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan