KUALA LUMPUR: Lima badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang berleluasa berniaga di sekitar ibu kota.
Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah berkata kehadiran peniaga asing terutama warga Indonesia, Pakistan dan Bagladesh yang berniaga secara haram bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan peniaga tempatan malah menjejaskan ekonomi negara.
"Lambakan peniaga warga asing di kawasan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Haji Taib mendatangkan kebimbangan kepada peniaga tempatan.
Mereka dipercayai menggunakan lesen peniaga tempatan untuk berniaga.
"Ia perlu dikekang. Contohnya jika sebuah kilang mengambil 500 pekerja warga asing, pihak kilang itu perlu mengawal dan jangan membenarkan mereka keluar sesuka hati menjalankan aktiviti lain daripada kawasan kilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Ridzuan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen memantau dan menyita tapak perniagaan peniaga tempatan jika didapati mereka menyewakannya kepada warga asing.
"Kita memberi tempoh tiga hari kepada pihak berkuasa untuk membersihkan peniaga warga asing yang memonopoli kawasan ibu kota sebelum protes besar-besaran diadakan," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan