SHAH ALAM: Umat Islam diminta jangan terkeliru dengan pengumuman kumpulan militan Pergerakan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) yang melantik Abu Bakr al-Baghdadi sebagai 'Amirul Mukminin' dan Khalifah untuk semua muslim di dunia.
Pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Dr Fadzlan Othman
berkata, gelaran khalifah yang 'dianugerahkan' kumpulan tersebut kepada
ketua mereka, tidak wajar diiktiraf oleh umat Islam
Ini kerana Abu Bakr terlibat dengan kumpulan yang cenderung melakukan pemberontakan dan keganasan sesama Islam.
"Gerakan itu sendiri gerakan yang ada masalah, kalau mereka lantik
ketua mereka, itu ketua mereka lah..Pada kita pula, mereka ini sebuah
kumpulan yang kita sifatkan sebagai menimbulkan huru-hara.
"Mereka sebut ketua itu sebagai khalifah, tapi kita tak sebut begitu," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Abu Bakr sebagai
kalifah seluruh umat Islam, seperti yang diisytiharkan pergerakan
terbabit beberapa hari lalu.
Menurut jurucakap ISIL, Abu Mohammad al-Adnani, kenyataan kumpulan
tersebut antara lain berkata majlis Syura kumpulan itu bersetuju menukar
nama ISIL kepada Negara Islam sahaja dengan menggugurkan Iraq dan
Levant.
Mengulas lanjut, Fadzlan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al
Quran dan Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata,
pandangan beberapa tokoh ulama di Timur Tengah turut merumuskan bahawa
gerakan tersebut sangat 'disangsikan', kerana ia lebih bersifat
pemberontakan atau militan.
"Gerakan ini satu gerakan yang bukan berpaksikan Islam sebenar, lebih
kepada nak menguasai dan menyerang nujahidin yang ada..sedangkan musuh
seperti Israel, tak ada pula ancaman yang dikeluarkan
"Orang Islam diperangi.. itu antara ciri-ciri khawarij (pemberontakan).
Mereka memerangi orang Islam dan meninggalkan orang kafir," katanya.
Tambah Fadzlan, sistem khalifah sememangnya telah runtuh dan tidak
mustahil dibangunkan kembali, tetapi ia bukan daripada pergerakan
bercorak militan berkenaan.
"Gerakan ini kita tak patut sokonglah... Dan kita doakan supaya mujahidin sebenar dibantu oleh Allah," ujarnya lagi.
Beliau dalam pada itu mencadangkan agar ulama di seluruh dunia
berbincang berhubung status pergerakan ini agar umat Islam dapat
mengetahui maklumat yang sebenar, selain dapat mengelakkan kekeliruan.
"Kita sekarang ini dah ada perhimpunan ulama yang menghimpunkan ulama
secara keseluruhannya untuk mengeluarkan fatwa, saya rasa perkara ini
perlu dibincangkan oleh mereka untuk kita mendapat maklumat yang
sebenar," kata Fadzlan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan