MALAYSIAKINI
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menolak dakwaan bahawa
kerajaan bertanggungjawab menekan Universiti Malaya sehingga pentadbiran
universiti itu menggugurkan pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (Umcedel).
Khairy berkata, Putrajaya juga tidak terasa hati dengan Umcedel, yang
sebelum ini sering menerbitkan hasil kajian yang tidak memihak kepada
kerajaan.
"Kerajaan tidak pernah tersinggung dengan kajian Umcedel. Kerajaan dan
parti BN hanya menganggapnya sama seperti hasil kajian berasaskan data
atau analisis.
"Salah jika dikatakan Putrajaya tersinggung dengan analisis Umcedel.
Kami ambil maklum dengan tinjauan dan kajian mereka tapi ia tidak
mendatangkan masalah kepada kami.
"Ada yang mempersoalkan kaedah Umcedel dan soalan yang dikemukakan,
tetapi ini bukan perkara yang perlu dipertimbang lebih lanjut.
"Jadi apa saja yang berlaku kepada Prof Redzuan, ia bukan kerana
campurtangan Putrajaya. Ia tidak memerlukan apa-apa pertimbangan dari
kerajaan," kata ketua Pemuda BN itu lagi di Twitter.
Laporan sebelum ini menyebut Redzuan diminta untuk meletak jawatan dari
Umcedel dan hak pelantikannya sebagai dekan juga tidak disambung semula.
Bekas menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah semalam
mendedahkan tekanan itu disuarakan oleh pegawai Kementerian Pelajaran
dan Pengajian Tinggi, beberapa bulan lalu.
Saifuddin turut meletak jawatan sebagai zamil penyelidik kanan UM sebagai tanda bantahan ke atas tindakan ke atas Redzuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan