MALAYSIAKINI
Majlis AIDS Malaysia (MAM) menyifatkan kematian sebilangan besar penyelidik Aids dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, Khamis lepas, sebagai satu kehilangan amat besar kepada pergerakan HIV/AIDS global.
Selain itu, majlis itu berkata pemergian banyak pakar, yang sedang dalam
perjalanan ke Persidangan Aids Antarabangsa ke-20 (AIDS 2014) di
Melbourne, Australia, adalah satu kehilangan yang tidak ternilai kepada
kehidupan manusia sejagat.
Presiden MAM Datuk Dr Raj Karim berkata antara 298 mangsa nahas tersebut
adalah termasuk bilangan besar penyelidik yang dijadual menghadiri
Persidangan AIDS 2014 selama lima hari itu, mulai esok.
"Pakar penyelidik HIV terkemuka dunia Prof Dr Joep Lange, antara
penumpang pesawat itu, merupakan seorang saintis yang cemerlang,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
"Beliau merupakan pejuang kemanusiaan yang luar biasa yang berjuang
tanpa mengenal penat lelah untuk meningkatkan akses kepada rawatan
antiretroviral, yang menyelamatkan nyawa pengidap HIV di negara-negara
membangun," katanya.
Dr Lange, seorang warganegara Belanda, merupakan bekas presiden
Persatuan AIDS Antarabangsa dan telah menceburi dunia penyelidikan
penyakit HIV selama 30 tahun serta menulis lebih 350 jurnal.
Dr Raj berkata mangsa-mangsa ini menampilkan suatu suara kolektif,
semangat dan dedikasi kepada perjuangan memerangi HIV dan AIDS di
peringkat global.
Menurut laporan media sosial sebelum ini, lebih 100 peserta Persidangan
AIDS 2014 termasuk isteri Lange, Jacqueline van Tongeren, pekerja
kesihatan, aktivis dan staf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
dilaporkan bersama-sama dalam perjalanan ke persidangan tersebut.
MAM menghantar delegasi lima anggota ke persidangan tersebut yang
dijangka disertai oleh 14,000 peserta daripada 200 buah negara.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal,
terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, ketika dalam perjalanan
dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban selepas pesawat
tersebut dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah, kira-kira 50km
dari sempadan Rusia.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan