Blogger berusia 37 tahun itu sebelum ini dikesan membuat ugutan bunuh itu melalui laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'. Pihak polis berjaya mendapat perintah tahanan reman untuk beliau. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, siasatan dibuat adalah susulan daripada lebih 20 laporan polis dibuat pelbagai pihak menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.
Padi Jantn bukanlah nama asing lagi dalam dunia maya politik. Laman tersebut (Facebook dan blog) sangat aktif menghentam dan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Laman itu seringkali menyiarkan foto-foto menghina pemimpin kerajaan Pakatan yang diedit, khususnya Almarhum Ustaz Azizan Razak. Padi Jantn dikatakan ‘keyboard warrior’ BN yang berbayar.
Cuma akhir-akhir ini Padi Jantn membuat kejutan apabila tiba-tiba serangannya berubah haluan; kali ini mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir secara terbuka. Isunya adalah isu lama, iaitu Madrasah Salihiah. Kalau dahulu Padi Jantn mengkritik Ustaz Azizan tetapi kali ini ini serangan dihalakan kepada Mukhriz, sebab yang memimpin kerajaan sekarang ialah Mukhriz.
Lebih-lebih lagi sewaktu jadi pembangkang dahulu, Mukhrizlah yang paling lantang memperjuangkan agar surau tersebut dikekalkan di situ. Beliau pernah berkampung di situ bersama Perkasa demi mempertahankan tanah wakaf tersebut. Apabila dapat jawatan Menteri Besar, perjuangan tanah wakaf pun nampaknya berakhir.
Isu Madrasah Salihiah, yang terletak di bandar raya Alor Setar diroboh untuk pembangunan menyeluruh kompleks Aman Central panas di zaman Ustaz Azizan apabila BN menjadikannya isu rasis untuk membakar sentimen Melayu.
Media BN kala itu hanya melapor madrasah itu akan dirobohkan untuk dibuat kompleks perniagaan tetapi tidak melaporkan tentang surau baru lebih besar yang akan dibina di tempat tersebut di samping pampasan RM1.48 juta untuk membina wakaf baharu di tempat lain yang lebih besar manfaatnya. Ertinya roboh satu surau dapat dua surau yang lebih besar.
Media BN memberitahu, bangunan itu mempunyai nilai sejarah kerana berusia 100 tahun tetapi surau yang kononnya berusia 100 tahun itu telah dirobohkan di zaman BN memerintah Kedah.
Media BN menceritakan seolah-olah keputusan merobohkan madrasah hanya berdasarkan ‘fatwa’ yang dibuat oleh Ustaz Azizan seorang. Mereka menggelapkan sama sekali peranan besar Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah yang bermuzakarah secara mendalam sebelum memutuskan keharusan madrasah dirobohkan. Perangai hodoh media BN tidak pernah berubah dalam kerja menggelapkan berita serta melaporkan sesuatu perkara secara tidak adil.
Ahli Majlis Fatwa yang menyetujui penggantian madrasah wakaf itu adalah Dato’ Sheikh Baderuddin Haji Ahmad (Mufti yang juga Pengerusi), Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Mohd Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd Hamid Md Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof Madya Dr Haji Abdul Aziz Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah).
Itu sedutan catatan terdahulu yang menyebabkan kerajaan BN Kedah kini selesa untuk meneruskan projek Aman Central sekalipun untuk sejurus waktu mereka berjaya menipu orang Melayu/Islam di negeri ini berhubung isu tersebut.
Berbalik kepada isu tangkapan terhadap pemilik akaun FB dan blog Padi Jantn. Apa yang menjadi persoalan ialah laporan polis yang dibuat oleh pihak Umno dan Perkasa berhubung ugutan terhadap Mukhriz tersebut adalah terhadap ‘Muhamad Taufik’ yang dinamakan sebagai pemilik akaun FB Padi Jantn. Lalu individu tersebut yang ditahan oleh pihak polis.
Untuk pengetahuan, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Mohd Nor telah berjaya dalam tuntutan samannya terhadap pemilik blog Padi Jantn kerana memfitnahnya terbabit rasuah balak dan ditahan oleh SPRM. Pemilik yang dinamakan adalah Sobri Sudin, bekas Setiausaha
Akhbar Menteri Besar di zaman BN. Sobri kalah di mahkamah pada Oktober 2013 dan diarahkan membayar RM100,000 kepada Sanusi. Maknanya, secara tak langsung mahkamah telah mengesahkan bahawa Sobri adalah pemilik blog Padi Jantn. Kini muncul pula Taufik. Adakah ia satu konspirasi pihak tertentu untuk mengelirukan mahkamah. Sama ada Sobri atau Taufik keduanya adalah orang Umno. Bagaimanapun bukan mustahil pula untuk sesebuah akaun sosial itu diurus oleh beberapa orang selaku 'admin'.
Mengapa isu Madrasah Salihiah itu menjadi begitu besar sehingga Menteri Besar diugut untuk dibunuh? Tun Mahathir Mohamad yang mengulas isu tersebut sendiri tidak yakin dengan ugutan bunuh itu. Baginya, orang Malaysia tidak seganas itu. Lagipun, kalau betul seseorang nak membunuh dia tak akan buat ugutan terbuka. Besar kemungkinan itu kerja orang yang gilakan publisiti atau cuma ‘mahukan sesuatu’. Pihak polis perlu juga menyiasat tahap mental pengugut. Yang jadi hero dalam isu ini pula ialah Mukhriz. Sudah setaraf dengan presiden Amerika yang sering jadi sasaran pembunuh. Akhirnya isu ini akan jadi bahan lawak jenaka sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan