HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Julai 2014

MP: K'jaan tak berkesan tangani gelandangan

MALAYSIAKINI


 


Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah membidas ketidakberkesanan kerajaan dalam menangani isu gelandangan di Kuala Lumpur.

Beliau turut membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan berhubung cadangan mengetatkan undang-undang menghukum gelandangan, pengemis dan pemberi sedekah di Kuala Lumpur.

Izzah menyifatkan cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (kiri) itu sebagai tindakan drastik yang wajar dikecam lantaran ini merupakan kegagalan kerajaan menangani hal yang berkait rapat dengan isu kemiskinan tegar itu.

"Dalam kelima-lima dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara, Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak berumah/gelandangan," kata Nurul dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan tersebut menjawab kenyataan Tengku Adnan Selasa lalu yang mengumumkan bahawa tindakan seperti itu bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.
 
Menurut laporan Bernama, Tengku Adnan berkata tindakan menyaman pemberi sedekah dan menahan pengemis kerana mereka terdiri daripada orang asing.

Menteri itu juga berkata bahawa tindakan NGO yang memberi makanan percuma kepada warga gelandangan di “merata-rata” juga mengundang kekotoran.

Izzah (kanan) yang juga naib presiden PKR mahu Tengku Adnan menarik balik cadangan itu dan menggesa kerajaan berusaha lebih giat lagi untuk membasmi kemiskinan serta masalah gelandangan daripada puncanya.

"Punca masalah gelandangan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu, bukannya menghilangkan simptomnya sahaja," kata beliau.

Izzah mengajak Malaysia mencontohi negara lain khususnya di Eropah di mana kerajaan bertungkus lumus bersama NGO untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kajian rapi dan akademik, malah mendapat sokongan sepenuhnya dari kerajaan.

Beliau memberi contoh di United Kingdom di mana Parlimennya meluluskan dana £400 juta (RM2.2 Billion) untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan lapan jabatan kerajaan yang diketuai Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan bagi menangani isu gelandangan.

"Kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada kajian-kajian pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa yang banyak menyatakan bahawa keadaan ekonomi masyarakat tempatan akan bertambah sempit sekiranya dasar-dasar kerajaan yang diterapkan tidak dibetulkan," katanya.

Tiada ulasan: