HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Julai 2014

Panda v Gaza



Oleh Mohamad Ammar Atan


Kerajaan Malaysia dilihat seolah-olah menutup sebelah mata akan tragedi yang menimpa rakyat Gaza, Palestin. Ironinya kerajaan Malaysia sanggup membiayai RM25 juta hanya untuk dua panda daripada membantu rakyat Gaza yang dihimpit kesengsaraan dek kekejaman Zionis Israel dan kuasa dunia yang dilihat terus sepi dalam isu kemanusiaan ini.

Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan

Perkara itu seperti dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun, 2012.

Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan. Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.


Alangkah baiknya jika usaha sehebat ini digunakan untuk membantu orang Palestin. Wanita, orang tua dan kanak-kanak di Gaza mungkin tidak mengalami kepupusan seperti beruang panda, tetapi nyawa mereka lebih murah daripada beruang panda itu sendiri pada saat ini.

Yang mati bergelimpangan, yang cacat dan akan merana seumur hidup mereka. Apabila panda hadir di Malaysia kita memperuntukkan puluhan jutaan ringgit tanpa menilai sudut pandang rakyat dan menurut World Wildlife Fund (WWF) yang mencadangkan peruntukan sebesar itu lebih bagus disalurkan kepada usaha menyelamatkan binatang yang diancam kepupusan di Malaysia.

Adakah kita mendapat peribahasa baru “Panda di China disusukan...”?. Apabila tragedi pembunuhan besar-besaran berlaku di Gaza kerajaan seolah-olah memandang sebelah mata tidak seperti keprihatinan kerajaan terhadap dua ekor panda dalam isu kemanusiaan, hak asasi manusia yang kononya kita perjuangkan.

Tuntasnya, ia bukan pada isu panda semata-mata tetapi ia berkaitan dengan keprihatinan kerajaan samada pusat atau negeri dalam melihat tragedi yang berlaku ini, bukan saja di Gaza hatta kesengsaraan rakyat Malaysia dalam menghadapi bebanan hidup yang semakin hari semakin meruncing dan di mana-mana sahaja, dan ini menimbulkan persoalan bagaimana kerajaan menilai yang mana lebih penting dan yang mana lebih bermanfaat selari dengan nilai kemanusiaan.

Tiada ulasan: