MALAYSIAKINI
Kerajaan Selangor akan memastikan kuantiti sumber air mencukupi untuk
Loji Pembersihan Air (LPA) beroperasi pada tahap maksima terutama
menjelang musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan
Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kerajaan negeri melalui
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil beberapa langkah
memastikan air dapat dibekalkan air kepada rakyat terutamanya pada musim
perayaan ini walaupun ada penurunan paras air di kesemua empangan
akibat cuaca kering.
"LUAS sedang memaksimakan penggunaan air kolam alternatif di Bestari
Jaya melalui operasi pengepaman yang berjalan selama 24 jam.
Operasi ini dilakukan oleh petugas yang terdiri daripada LUAS, Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor serta Kumpulan Semesta Sdn
Bhd (KSSB).
"Ini adalah untuk memastikan kuantiti air Sungai Selangor memenuhi
keperluan muka sauk dan juga LPA terutamanya di musim perayaan yang
bakal tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya sebanyak 20 pam telah dipasang untuk mengepam air dari kolam ke
dalam sungai, manakala tujuh buah pam lagi untuk mengepam air sungai ke
dalam kolam ketika aliran tinggi.
Beliau berkata bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar tanpa
gangguan, sebuah bilik gerakan operasi pengepaman air kolam altenatif
telah diwujudkan di bangunan berdekatan dengan kawasan kolam-kolam
terbabit sebagai pusat pemantauan operasi oleh pasukan petugas.
"Dalam masa yang sama perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)
dan juga bantuan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) digunakan untuk
memastikan keselamatan pasukan petugas dan juga operasi," katanya.
Dr Ahmad Yunos berkata, biarpun dijangka ada pengurangan penggunaan air
ketika awal musim perayaan disebabkan warga kota yang akan pulang ke
kampung, namun operasi pengepaman air kolam akan terus dijalankan untuk
memastikan tangki-tangki imbangan dapat dipenuhkan untuk menampung
peningkatan penggunaan selepas cuti perayaan.
Mengulas mengenai paras air empangan di negeri Selangor yang terus
mengalami pengurangan, Dr Ahmad Yunus menyatakan dalam satu mesyuarat
Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air bersama Majlis Keselamatan Negara
(MKN), pihaknya telah memohon perkhidmatan pesawat daripada Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan
pada skala yang lebih besar.
"Kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak MKN mengenai perkara
tersebut. Dengan cuaca semasa yang panas dan kering, operasi pembenihan
awan ini akan dilakukan mengikut kesesuaian di atas nasihat pihak
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET),"katanya.
Dalam pada itu beliau juga menyeru kepada pengguna agar sentiasa bijak
dan berjimat dalam penggunaan air di musim perayaan ini, lebih-lebih
lagi dengan cuaca panas dan kering yang sedang dialami.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan