HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Januari 2015

1MDB tangguh hutang kali ketiga, Bank Negara diminta tegas

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR- Tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menangguh bayaran hutang sebanyak RM2 bilion kepada bank-bank Malaysia mengesahkan syarikat itu berdepan masalah aliran tunai.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan laporan majalah Bloomberg baru-baru ini, ia kali ketiga 1MDB memohon penangguhan bayaran.


Rafizi


Perkembangan itu, katanya, menimbulkan tanda tanya ke mana wang yang dikatakan dibawa balik dari Pulau Cayman seperti dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru 1MDB, Arulkanda Kandasamy.

“Jika benar semua dana yang berjumlah sekitar RM7 bilion itu telah dibawa pulang, seharusnya 1MDB tiada masalah untuk membayar tunggakan hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru beliau menyeru Bank Negara Malaysia tidak membenarkan penangguhan tersebut sekali lagi kerana ia memberi isyarat berbahaya kepada pasaran di saat matawang Malaysia terus jatuh.

Katanya, keberhutangan 1MDB memberi kesan kepada kestabilan kewangan, menyebabkan risiko pelabur asing menarik balik pelaburan mereka daripada sistem perbankan negara.

“Ini akan menjatuhkan lagi nilai matawang ringgit,” tambahnya.

Katanya lagi, selama ini beliau sedaya upaya untuk tidak melibatkan Bank Negara Malaysia kerana maklum tentang kesulitan dan tekanan dihadapi gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akibat masalah 1MDB.

Bagaimanapun katanya, masanya sudah tiba untuk Zeti membuat keputusan tegas.

Justeru, dengan kuasa yang ada pada BNM di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram, beliau menyeru Zeti mengesahkan sama ada dana RM7 bilion berkenaan telah dibawa pulang dari Pulau Cayman.

Rafizi juga meminta BNM menyatakan di institusi kewangan yang menyimpan dana berkenaan, dan sama ada syarikat pelaburan itu mempunyai dana mencukupi untuk melangsaikan hutangnya.

Beliau dalam pada itu berkata, delegasi Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan bertemu Zeti dalam tempoh dua minggu bagi memberikan pandangan mengenai isu itu.

Tiada ulasan: