HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Januari 2015

Mangsa banjir tak tahan lagi tinggal dalam khemah

SINAR HARIAN


Foto Bernama Foto Bernama
 
 
GUA MUSANG - Oleh kerana sudah tidak sanggup lagi tinggal  dalam khemah hampir sebulan, seramai 78 orang mangsa banjir dari 13 keluarga di Kampung Aring 2 di sini merayu supaya pembinaan rumah untuk mereka dipercepatkan.

Mereka sudah tidak tahan lagi berada di dalam khemah yang dibina sendiri di atas tapak asal rumah mereka yang dihanyut banjir, dalam keadaan panas membahang pada tengah hari dan sejuk menggigil di waktu malam.

Mereka mendakwa pelbagai pihak sudah datang menjenguk mereka dan menasihatkan mereka supaya bersabar, tetapi mereka tidak dibenarkan membina semula rumah mereka kerana akan diberi penempatan baharu.

Namun bagi Husin Ali, 68, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar, berharap bantuan kerajaan kerana tidak mampu membina rumah baharu.

Beliau tinggal di dalam khemah bersama anak lelakinya yang cacat kedua kaki, dengan membina khemah di atas lantai simen bahagian dapur rumah asalnya. 

"Pak cik harap kerajaan segera membina rumah sementara kerana kami sudah tidak tahan tidur di atas simen," katanya.

Salimah Abdullah, 65, berkata, beliau terpaksa tinggal di dalam khemah kerana rumahnya yang didiaminya sejak lebih 20 tahun dihanyut arus banjir dan kini mereka juga tinggal sehelai sepinggang.

"Mak cik selama ini hanya mengharap hasil tanaman pisang dan jagung yang habis musnah untuk terus hidup," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: