HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2015

Penduduk Keramat nafi bertindak ganas semasa protes bantah Datum Jelatek

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic
 
 
 
AMPANG JAYA: Wakil generasi ketiga penduduk Keramat Ariffin Abu Akar hari ini tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan kerajaan negeri Selangor terhadap kumpulan bantahan projek Datum Jelatek Ahad lalu dilakukan oleh penduduk tempatan.
 
Katanya beliau percaya penduduk tempatan tidak melakukan keganasan pada hari tersebut, sebaliknya ada kumpulan yang digunakan oleh pihak pemaju Datum Jelatek untuk memburukkan demonstrasi tersebut.
 
"Saya percaya ada kumpulan yang mengganas dan setelah masuk di kawasan tapak projek tidak mahu keluar itu bukan peserta kami yang sepatutnya.
 
"Penduduk Keramat yang membantah dan menyertainya pada hari itu kita yakini tidak akan bersifat demikian," katanya kepada wartawan selepas selesai membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Ampang Jaya pagi tadi.
 
Dalam masa sama beliau menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa penduduk yang membantah projek berkenaan bersikap rasis kepada kaum Cina.
 
Sebalinya beliau berkata penduduk perlu mempertahankan tanah yang sememangnya diduduki kaum Melayu sejak dari dulu lagi.
 
Untuk rekod, Ahad lalu Badan Bertindak Datum Jelatek dengan kerjasama NGO Perkasa mengadakan demonstrasi membuktikan ketidakpuasan hati terhadap pembinaan projek kondominium mewah. 
 
Ada yang bertindak merempuh zink kawasan tapak projek namun keadaan berjaya dikawal oleh pihak polis.
 
Demonstrasi itu diadakan kerana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan sebuah syarikat pemaju  didakwa membelakangkan kepentingan penduduk bumiputera tempatan dalam membangunkan projek kondominium dan ruang niaga mewah. 
 
Penduduk mendakwa projek berstatus mega dengan harga unit kondominium bermula dengan harga serendah RM700 ribu ringgit tidak mampu dibeli mereka. 
 
Selain itu mereka bimbang  projek Datum Jelatek akan mengubah  wajah Keramat  yang merupakan antara penempatan bumiputera terawal di Lembah Kelang. 
 
Kata penduduk lagi, projek berkenaan juga bukanlah khas untuk Bumiputera sebaliknya ia dijual kepada warganegara asing dari China, Taiwan dan Singapura.  

Tiada ulasan: