MSTAR ONLINE
Katanya, cadangan itu merupakan langkah permulaan penting kerana nilai sejarah monumen itu terhadap penduduk pribumi Sabah.
"Setelah selesai semua perkara berkaitan pemindahan Batu Sumpah itu, kita minta kerajaan dapat mengambil kira cadangan untuk menjadikannya sebagai salah sebuah tapak warisan negara.
Ini sekaligus membuktikan bahawa kita serius untuk memulihara tapak monumen bersejarah itu," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.
Batu Sumpah berbentuk tapak kaki besar di hadapan Pejabat Daerah Keningau itu merupakan monumen bersejarah didirikan sekitar tahun 1960-an atas perjanjian antara Parti Pasok Momogun dengan Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak kebebasan beragama dan adat istiadat masyarakat pribumi Sabah.
Ia juga sebagai tanda taat setia masyarakat pribumi negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan. Dalam perkembangan berkaitan, Kurup berkata tapak baharu untuk memindahkan monumen itu telah dikenal pasti iaitu berdekatan kawasan Pejabat Tanah dan Ukur Keningau dan disifatkannya kawasan strategik untuk dihargai oleh orang awam.
Kurup berkata sebuah jawatankuasa akan bertanggungjawab memastikan plak pada monumen tersebut dapat digantikan dengan plak yang lebih berkualiti dan tahan lama serta mengikut spesifikasi asalnya.
Beliau juga mencadangkan agar frasa 'Kerajaan Malaysia Jamin' tertera pada plak baharu seperti pada plak asal Batu Sumpah itu.
"Berikutan terdapat tuduhan mengatakan terdapat perkataan yang hilang, oleh itu pada plak baharu ini, kita akan pahatkan semula perkataan hilang itu," katanya.
Sementara itu, Kurup turut menegur tindakan segelintir anggota sebuah parti pembangkang melakukan satu upacara pada Batu Sumpah berkenaan yang didakwanya telah menyinggung perasaan rakyat di Sabah.
Menurutnya, terdapat ayam mati dibiarkan dekat Batu Sumpah itu selain bendera parti berkenaan dipacakkan bersebelahan monumen itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan