Oleh Fariz Musa
Jingga13 Malaysia terus berdiri teguh bersama-sama blogger Sharpshooter aka Amizuddin Ahmat, Timbalan Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia dan Blogger MiLo SuaM aka Yusuf Al-Sidique Suratman, Koordinator Panatia Media Sosial Jingga13 Malaysia yang telah dijatuhi oleh mahkamah dengan hukuman penjara.
Amizuddin kini di penjara 3 bulan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kesalahan menghina mahkamah ekoran pengeluaran artikel yang telah disalin ke dalam blog beliau.
Sedangkan Pn Irene Fernandez juga pernah mengeluarkan kenyataan media berkaitan kes Rais Yatim, begitu juga tulisan dalam blog oleh Blogger Rocky Bru dan artikel oleh Harakah Daily juga melibatkan tuduhan kepada bekas Menteri Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia tersebut.
Persoalannya mengapa Rais Yatim hanya menyaman Amizuddin Ahmat semata-mata? Kenapa ke tiga-tiga mereka tidak disaman oleh Rais Yatim?
Justeru Jingga13 Malaysia merasa amat kesal dan tindakan memenjarakan Amizuddin Ahmat adalah satu tindakan zalim dan bertujuan menganiaya beliau dan adalah tidak wajar sehingga dipenjarakan 3 bulan.
Jingga13 Malaysia juga melihat tindakan tersebut adalah satu tindakan dan usaha mengekang kebebasan bersuara dan internet oleh Kerajaan Umno BN khususnya kepada para blogger dan aktivis yang Pro Pakatan Rakyat tetapi membiarkan segala fitnah yang lakukan oleh Blogger pro Umno BN.
Perjumpaan Jingga13 bersama beliau pada 18 Januari 2015 di Penjara Kajang yang turut dihadiri YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli keluarga cukup menghibakan walaupun beliau terus tersenyum dan bersemangat tetapi kami merasai penderitaan yang dihadapi beliau.
3 Jan 2015, beliau telah dibawa ke sebuah sel bersama-sama 9 orang penjenayah, bilik tiada lampu, tiada air, makanan selayaknya untuk anjing dan kucing.
Keesokannya dipindahkan ke Block INSAF bilik 34, betul-betul bersebelahan dengan bilik hukuman gantung sampai mati. Bilik tersebut juga tiada air.
Kemudian beliau dipindahkan ke blok RSD (Klinik Penjara), diasingkan atas ketegori keselamatan dan berseorangan diri. Beliau mulai berpuasa hari Isnin, hanya berbuka dan sahur dengan biskut kering dan air paip.
Terbaru Jingga13 Malaysia sekali lagi berdepan dengan keputusan pemenjaraan terhadap salah seorang penulis blog MiLo SuaM, aka Yusuf Al Siddique Suratman yang dijatuhi hukuman penjara Maksimum 2 tahun di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. Beliau kini akan meneruskan perjuangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Pendakwaan Yusuf di bawah seksyen 505 (b), tuduhan menimbulkan ketakutan ketika pencerobohan Sulu jelas satu pertuduhan jelek. Betapa tidak masuk akal undang-undang dimanipulasi bagi mendakwa untuk memenjarakan seorang penulis blog atas sebab mencetuskan ketakutan.
Jika menimbulkan ketakutan sahaja sudah boleh didakwa, adakah penulis novel dan pengarah filem seram yang jelas sengaja menimbulkan ketakutan juga perlu didakwa dan dipenjarakan?
Ini jelas usaha terdesak menekan kebebasan bersuara terhadap masyarakat, khususnya blogger dan aktivis pro Pakatan Rakyat.
Jingga13 Malaysia yakin kedua-dua blogger yang juga merupakan ahli Sekretariat Jingga13 Malaysia akan terus konsisten membongkar kebobrokkan dan kerakusan sang penguasa Umno BN.
* Fariz Musa adalah Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan