HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2015

'Tiada untungnya Mustafa debat Guan Eng'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ahli jawatankuasa pusat PAS, Khalid Samad cuba meredakan pertikaian di antara Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dengan menganggapnya sebagai “masalah peribadi” semata-mata.

Beliau juga melihat cabaran Mustafa untuk berdebat dengan Lim sebagai usaha yang “tidak menguntungkan”, namun meminta agar kedua-duanya bertemu untuk mencari penyelesaian.

"Saya nampak ia seolah-olah perkara peribadi. Tak nampak untungnya. (Kalau boleh) biarlah jumpa untuk berbincang dan cari penyelesaian," katanya dalam satu sidang media di Shah Alam

Semalam, Mustafa mencabar Lim untuk berdebat mengenai enakmen bagi melaksana pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Cabaran itu timbul susulan kenyataan Lim yang disifatkan Mustafa sebagai "bermulut celupar" kerana menganggap Mustafa sebagai seorang yang tidak jujur.

Selain itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga turut meminta supaya semua pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat tidak berdebat dan memberikan pendapat secara terbuka.

"Zahirkan kebijaksanaan dalam mencari kata sepakat. Rakyat bosan dengan debat dan hujah terbuka. Lebih baik duduk bersama dan bertemu. Kalau tak nak pergi sendiri (untuk pertemuan), beri mandat pada wakil secara bijaksana.

"Jangan kecewakan pengundi yang mahu melihat Pakatan memerintah dan menggantikan kerajaan BN.

"Seruan dan rayuan ini saya nak sampaikan bagi pihak pengundi Pakatan Rakyat kerana mereka dah naik letih dengan suasana yang ada sekarang ini," katanya.

Pandangan Hadi perlu diambil kira

Sementara itu, menyentuh isu pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang, Khalid berkata ia perlu dilaksanakan dengan bijaksana bagi memastikan suara semua penduduk dapat didengari.

Malah, katanya, sekiranya kerajaan negeri DAP tetap ingin melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan itu, kebimbangan yang disuarakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu diambil kira.

"Kalau kita dapat memperkenalkan sistem (pilihan raya) ini dengan segala kebijaksanaan kita, kreativiti kita untuk hasilkan ahli majlis yang dipilih, maka ia akan menjamin satu suasana di mana suara penduduk benar-benar dapat didengar.

"Jika perlu buat pilihan raya kerajaan tempatan juga, kekhuatiran yang disebut tuan guru (Abdul Hadi) perlu diambil kira," katanya lagi.
 

Tiada ulasan: