HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2015

Bom tangan, peluru M16 ditemui di premis kosong

MALAYSIAKINI


 


Tiga butir bom tangan bersama 76 butir peluru dan empat kelopak peluru M16 ditemui di sebuah premis kosong di Jalan Tun Dr Awang, Bukit Jambul di George Town malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata bahan letupan dan peluru itu ditemui di dalam sebuah beg serbaguna di belakang pendingin hawa di balkoni premis itu.

"Tiga pekerja yang ingin menyelenggara pendingin hawa premis berkenaan menemui bahan-bahan itu ketika ingin memeriksa kompresor pendingin hawa itu pada pukul 9 malam," katanya dalam sidang akhbar di George Town hari ini.

Beliau berkata kesemua barangan itu masih boleh berfungsi dengan baik dan polis akan melakukan ujian balistik terhadap peluru berkenaan untuk siasatan lanjut.

Premis yang terletak di tingkat satu rumah kedai tiga tingkat itu pernah diserbu polis bersabit kes dadah pada 6 Januari dan polis kini menyiasat kemungkinan kedua-kedua kes itu mempunyai kaitan, katanya.

Mior Faridalathrash berkata premis itu pernah dijadikan salon kecantikan tetapi telah dikosongkan penyewa terdahulu selepas serbuan dadah itu.
  
"Polis kini menyiasat untuk mengetahui tujuan apa bom dan peluru itu disorokkan di situ," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan dan peluru kaliber 5.56 mm itu bukan milik kerajaan Malaysia.

"Kami percaya ia diseludup dari negara jiran," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tiada ulasan: