HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2015

DAP, kumpulan NGO bantu mangsa banjir Orang Asli Kelantan

Gua_Musang

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menerusi pasukan Impian Malaysia bersama rangkaian badan bukan kerajaan (NGO) berjaya menyalurkan bantuan 3.85 tan bahan makanan kepada hampir 300 keluarga Orang Asli di Gua Musang, Kelantan hujung minggu lalu.

Bantuan yang diberikan itu dijayakan dengan kerjasama United Sikhs, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Center for Orang Asli Concerns (COAC) dan beberapa NGO lain pada 25 dan 26 Januari lalu.

Sejak awal Januari ini, COAC dan United Sikhs telah melakukan 6 sesi penghantaran bantuan makanan ke kampong-kampung Orang Asli di Kuala Betis yang tidak dapat dimasuki melalui jalan darat. Penduduk kampong telah membantu pihak NGO menyediakan tapak mengumpul dan menghantar bantuan makanan tersebut.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, yang menyelaraskan usaha membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan sejak akhir tahun lalu, DAP bersama dengan United Sikhs telah membiayai perhidmatan helikopter ke 21 kampung yang melibatkan hampir 300 keluarga tersebut.

“Kami telah menghantar bantuan 3.85 tan bahan makanan itu sepanjang dua hari, iaitu 26 dan 26 Januari,” katanya kepada Roketkini.com

Kampung-kampung yang mendapat bantuan makanan tersebut adalah Kampung Rekom, Kg Bayor, Kg Belaj, Kg Rekom, Kg Halak, Kg Ipes, Kg Barong, Kg Peng, Kg Dakoh, Kg Perawas, Kg Badak, Kg Lalok, Kg Kenben, Kg Cacuk, Kg Ladoi, Kg Balyek, Kg Gag, Kg Telur, Kg Sempadik, Kg Balar, Kg Lama, dan Kg Temaga. Kesemuanya di Kuala Betis, Gua Musang.

Mereka menggunakan helikopter untuk membawa bantuan, antaranya adalah beras (1,000 kg), gula (300 kg), biskut (200 paket), susu (200 tin), ikan bilis (500 kg), bawang putih (50 kg) dan bawang merah (300 kg).

Usaha menggunakan kenderaan darat pada hujung minggu lalu sukar dilaksanakan berikutan masalah tanah runtuh serta jambatan rosak yang memotong akses antara kampung.

“DAP membantu atas dasar kemanusian semata-mata. Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, kami prihatin dengan bencana yang dialami sahabat-sahabat kita di Kelantan,” kata Anthony.

DAP setakat ini telah memberikan sumbangan bantuan sebanyak RM50,000 kepada Pusat
Pengumpulan Bencana Banjir Kampung Parik, Kuala Betis.

Menurusi perbualan wartawan Roketkini.com bersama beberapa wakil Orang Asli, mereka berbesar hati dengan sumbangan yang telah disalurkan oleh DAP dan kumpulan NGO terbabit kerana setakat ini tak sampai 40 peratus penduduk yang menerima bantuan kerajaan terutama di kawasan bandar.

Beberapa wakil Orang Asli turut menyatakan mereka telah menuntut kerajaan untuk mengambil kira keadaan kesihatan dan memulihkan semula sekolah namun tuntutan tersebut tidak dilayan.

Ada juga di antara mereka yang mengecam tindakan pihak berkuasa yang yang setakat ini didakwa langsung tidak mengambil peduli keadaan hampir 18,000 Orang Asli di daerah ini yang terjejas teruk akibat bencana banjir. – Roketkini.com

Tiada ulasan: