OLEH LEE SHI-IAN
Sehari selepas Malaysia
mengisytiharkan penerbangan kehilangan MH370 satu kemalangan dan semua
239 di atas kapal meninggal dunia, waris penumpang dan anak kapal itu
melahirkan kemarahan mereka, menuduh Putrajaya tidak berhati perut dalam
mengendalikan keadaan.
Kelly Wen, isteri penumpang dari China yang dikenali sebagai Li,
melahirkan rasa kecewa dengan cara Putrajaya membuat pengumuman itu.
Pada Khamis, Jabatan Penerbangan Awam mengadakan siaran langsung di
kaca televisyen dan Ketua Pengarah Datuk Azharuddin Abdul Rahman
mengisytiharkan, pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dalam satu
kemalangan.
"Saya tidak akan terima pengumuman kehilangan tanpa memperolehi
sebarang bukti tentang nasib sebenar pesawat itu," kata Wen pada sidang
akhbar yang diadakan oleh waris penumpang dan anak kapal MH370 di Subang
Jaya malam tadi.
"Saya sudah berada di Malaysia lebih satu minggu atas urusan peribadi
apabila saya dapat tahu pengumuman akan dibuat mengenai MH370," kata
Wen.
"Saya bertanya dengan kedutaan China dan pejabat Menteri Pengangkutan
Datuk Seri Liow Tiong Lai, kedua-duanya kata tiada pengumuman dijangka
dibuat."
Jelas tidak senang dengan cara Jabatan Penerbangan Awam mengadakan
siaran langsung bagi mengisytiharkan kemalangan MH370 kelmarin, Wen
berkata keluarga dan waris penumpang dan anak kapal sepatutnya
dimaklumkan terlebih dahulu.
Tambahan pula, katanya, memandangkan majoriti mereka berketurunan Cina,
Putrajaya dianggap tidak berhati perut membuat pengisytiharan tersebut
ketika Tahun Baru Cina hampir menjelang.
Grace Subathirai Nathan, anak Anne Daisy, mengecam jawatankuasa yang
bertanggungjawab atas waris, satu daripada 3 jawatankuasa yang
ditubuhkan pada peringkat awal kehilangan MH370.
"Apa yang jawatankuasa ini, yang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk
Hamzah Zainuddin, buat? Bukankah mereka sepatutnya berhubung dengan
keluarga?
"Kami tidak dengar sepatah kata pun dari jawatankuasa itu walaupun
tujuan penubuhannya ialah untuk berhubung dengan waris dan memaklumkan
kami sebarang perkembangan.
"Mana Hamzah? Apakah yang jawatankuasa itu buat selama ini? Putrajaya
sama sekali tiada rasa hormat kepada keluarga dan waris," kata Grace.
Sarah Bajc, rakan Phillip Wood berkata, tindakan kerajaan Malaysia melanggar peraturan dan tatacara kelakuan baik yang biasa.
"Keseluruhan peristiwa dikendalikan dengan cara yang tidak berhati
perut sejak 8 Mac apabila penerbangan itu mula-mula dikhabarkan hilang,"
katanya.
Isteri penyelia dalam penerbangan Patrick Gomes, Jacquita Gonzales
berkata, dia enggan menerima berita itu tanpa memperolehi sebarang
bukti.
"Mereka boleh isytiharkan suami saya mati, tetapi saya tidak boleh.
Saya tidak boleh putus harapan terhadapnya," kata seorang Gonzales
dengan linangan airmata.
"Kami katakan sebelum ini, dan kami tegaskan sekali lagi sekarang, kami
bersedia menerima sebarang kemungkinan, termasuk fakta yang orang yang
kami sayangi tidak boleh kembali.
"Tetapi semua ahli keluarga sebulat suara dalam pendirian kami yang
kami tidak akan mengisytiharkan orang yang kami sayangi mati, jika tiada
sebarang bukti," kata Jacquita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan