AKMAL NASIR
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik langkah kerajaan menyemak belanjawan ekoran kejatuhan harga minyak dunia.
Ini menjelaskan ketepatan kritikan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa kerajaan tidak patut berbelanja besar dengan mengamalkan defisit berterusan serta terlalu bergantung kepada hasil minyak.
Bagaimanapun, AMK berpendirian bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukan sepatutnya ditangguh tetapi terus dimansuh.
AMK berpendirian bahawa semua modul latihan PLKN sebenarnya boleh dijalankan oleh pihak sekolah dan juga universiti. Menganggap latihan PLKN penting, seolah-olah ia tidak mampu disediakan oleh pihak sekolah dan universiti jelas menunjukkan betapa lemahnya fokus pendidikan negara.
Semua kebaikan yang boleh didapatkan melalui PLKN boleh juga dicapai jika dikendalikan oleh pihak lain, pada kos yang lebih rendah.
Sekiranya kerajaan mengatakan penjimatan yang dibuat ialah sebanyak RM400 juta dengan penangguhan PLKN, maka pihak kerajaan mesti menjelaskan mengapa perbelanjaan tahun-tahun tertentu adalah lebih tinggi, mencecah sehingga RM700 juta.
Jumlah RM400 juta ini adalah sekitar satu perlima hingga satu perempat jumlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) setahun atau menampung kos pinjaman sebanyak RM15,000 kepada lebih 25,000 pelajar universiti setiap tahun atau menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran kepada anak muda yang tidak terpilih melanjutkan pengajian ke universiti atau memilih untuk bekerja atau memastikan semua sekolah di seluruh negara ada kemudahan asas yang lengkap.
Daripada data yang ada, seramai 832,712 orang telah mengikuti latihan PLKN sejak ia mula
diperkenalkan pada 16 Februari 2004. Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun (meskipun ada tahun-tahun di mana perbelanjaannya lebih tinggi), ia bermakna kos untuk seorang peserta adalah sebanyak RM5,283 untuk setiap program, terlalu tinggi untuk seorang peserta.
AMK yakin, jenis latihan yang sama boleh disediakan pada kadar harga lebih rendah. Oleh itu, AMK menggesa semua kontraktor yang terlibat dalam menyediakan bekalan untuk PLKN ini didedahkan kepada umum.
Dengan semua kelemahan ini, AMK menggesa agar PLKN bukan sahaja ditangguh tetapi akan terus dimansuhkan.
AKMAL NASIR Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan