HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2015

Ke mana CEO 1MDB hilangkan diri?

tony

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mempersoalkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy yang telah seminggu mendiamkan diri selepas menawarkan diri untuk bersemuka dengannya.

Beliau berkata, tindakan mendiamkan diri Arul kini menimbulkan syak wasangka walhal beliau sendiri sebelum ini mendakwa ‘penelitian awam mengenai 1MDB merupakan perkara yang baik’ dan dapat ‘mengukuhkan syarikat dan urusan pentadbirannya’.

“Malangnya sejak kenyataan saya pada 17 Januari lalu yang menyambut tawaran Arul untuk berdialog dan mencabar beliau memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak ada sebarang jawapan diterima dari dirinya atau 1MDB.

“Oleh itu saya ingin bertanya, bilakah 1MDB akan memberi keterangan kepada PAC? Atau adakah
CEO baru 1MDB telah membuat keputusan bahawa ‘penelitian awam mengenai 1MDB bukan lagi satu perkara yang baik’?” soalnya.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dua hari lalu menyatakan, walaupun pihaknya tidak akan memanggil 1MDB untuk audit penuh namun Arul dialu-alukan bagi memberi penjelasan sukarela dihadapan PAC.

Pada 16 Januari, Arul dalam satu kenyataannya menyatakan beliau bersedia untuk berdialog dengan Tony untuk menjelaskan mengenai skandal penyelewengan syarikatnya.

Bekas Ketua Bank Abu Dhabi turut menggesa pengkritik 1MDB agar memberikan kritikan lebih bermaklumat sebelum sebelum serangan dilemparkan kepada syarikatnya.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP sebelum ini menegaskan beliau bersedia untuk menerima tawaran berdialog tapi menambah bahawa lebih baik lagi jika Arul memberi keterangan kepada PAC.

1MDB telah menjadi perhatian ramai berikutan hutangnya melambung tinggi dan urusan pelaburan meragukan termasuk misteri dana berjumlah RM8.24 bilion di Kepulauan Cayman yang kononnya sudah ditebus seperti didakwa Arul Kandasamy. -Roketkini.com

Tiada ulasan: