Tuan Zaharah melihat Danish Darwish yang dipanggil Abang yang masih boleh memberi tindak balas komunikasi walaupun hanya menggunakan mata. Tuan Zaharah melihat Danish Darwish yang dipanggil Abang yang masih boleh memberi tindak balas komunikasi walaupun hanya menggunakan mata.
 
 
KAMPUNG BUKIT PERAH - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Begitulah kehidupan dilalui seorang mualaf, Mohd Hashim Liew Abdullah, 47, yang mempunyai dua anak istimewa menghidap ‘cerebral palsy’.

Menurut bapa empat anak ini, ketabahannya turut diuji apabila isteri tercinta, Tuan Zaharah Tuan Zaik, 41, juga mengalami masalah kesihatan berkaitan usus (hernia) sejak sembilan tahun lalu hingga tidak dapat melakukan kerja-kerja berat bagi menguruskan rumah tangga.

“Anak sulung, Erynn Elrina, 16, dan anak kedua, Danish Darwish, 12, membesar tidak seperti bayi lain setelah disahkan menghidap penyakit ini sejak lahir apatah lagi mereka dipercayai lemas ketika proses bersalin. Kedua beradik ini hanya mampu terbaring sahaja.

“Memandangkan isteri juga kurang sihat dan tidak boleh mengangkat sesuatu yang berat, mahu atau tidak sebagai ketua keluarga saya perlu berkorban menguruskan anak-anak istimewa ini walaupun sebenarnya begitu dihambat kekangan masa,” katanya.

Dukung anak setiap pagi

Mohd Hashim berkata, rutin hariannya sebelum ke tempat kerja ialah mendukung dua beradik istimewa ini ke bilik air untuk memandikan mereka.

“Setiap pagi juga saya ke Wakaf Tapai menghantar anak ketiga, Ahmad Amsyar, 8, yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa di sana.

“Apabila waktu rehat iaitu antara jam 1 hingga 2 petang, saya pulang ke rumah kerana perlu memberikan anak-anak terutamanya Erynn Elrina yang dipanggil Along makan tengah hari. Mujurlah kilang papan tempat saya bekerja terletak tidak berapa jauh,” katanya.

Menurutnya, walaupun sering kelewatan untuk kembali ke tempat kerja bagi memulakan tugas namun dia bersyukur kelewatan yang bukan disengajakan itu difahami pihak pengurusan kilang tersebut.

“Waktu bekerja sebenarnya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, namun jika kerja lebih masa biasanya akan pulang jam 7 petang. Pendapatan bulanan sekitar RM1,000 dan kalau dikira memang tak mencukupi apatah lagi saya perlu bayar sewa rumah didiami ini.

“Namun, syukurlah bantuan bulanan RM600 diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan berupa keperluan dapur oleh Maidam sedikit ringankan beban saya, kerana belanja lampin pakai buang dan susu sahaja sudah hampir RM600 sebulan,” katanya.

Banyak bergantung kepada suami

Sementara itu, Tuan Zaharah berkata, dia tidak menduga sekali lagi menderita sakit di bahagian perut kerana sebelum itu telah mempunyai ketumbuhan dan sudah pun melalui pembedahan bagi membuangnya.

“Akibat hernia, sekali lagi saya perlu dibedah sekitar tahun 2006 kerana usus saya dikatakan telah terkeluar hingga menyebabkan perut saya membusung. Gara-gara alami masalah kesihatan, saya tidak dapat uruskan rumah tangga dengan sebaik mungkin.

“Semuanya banyak bergantung kepada suami. Saya bersyukur kerana dapat teman hidup yang bertanggungjawab. Malah, walaupun dia seorang mualaf namun hubungan dengan keluarganya begitu baik walaupun dia telah memeluk Islam sekitar tahun 1995 lalu,” katanya.

Bimbang masa depan anak

Kata Tuan Zaharah, ketika berkahwin dengan suaminya pada 1998, dia telah pun beragama Islam.

“Keluarganya selalu ada bersama kami memberikan sokongan dan mereka juga terutamanya ibu mertua selalu datang ke sini berjumpa empat cucunya termasuk yang bongsu, Nor Qaseh Qalisha, 4.

“Sebagai ibu, jauh di sudut hati bimbang dengan masa depan dua anak istimewa ini sekiranya ditakdirkan saya dan suami pergi dahulu sebelum mereka. Sejak lahir sehingga kini mereka hanya mampu terbaring serta keluarkan suara sahaja,” katanya.

Katanya, memandangkan rumah didiaminya kini adalah rumah sewa dia menaruh harapan untuk mendiami rumah sendiri terutamanya Rumah Mampu Milik di sekitar Pekan Ajil biarpun perlu membayar kadar bulanan.

“Sekurang-kurangnya rumah itu nanti akan jadi milik sendiri. Saya telah menerima sebuah rumah PPRT di Kampung Getang tetapi kerana lokasinya terletak hampir 30 kilometer dari tempat suami bekerja, ia mengundang kesukaran serta kekangan masa bagi suami,” katanya.