JAKIM JAKIM
 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperluaskan lagi penjelasan mengenai jihad susulan banyak kekeliruan berhubung konsep itu terutama dalam kalangan golongan muda.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kekeliruan itu dikenal pasti antara punca segelintir golongan muda mula tertarik dan terpengaruh dengan 'seruan jihad'.
  
"Jakim akan melaksanakannya melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan agensi-agensi di bawah bidang kuasanya di sini hari ini.
  
Jamil Khir berkata, pegawai Jakim akan turun padang dengan mengadakan sesi ceramah serta seminar bukan sahaja di IPT malah setiap agensi kerajaan.
  
Usaha itu, katanya, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Jakim mengambil peranan dan tanggungjawab mengetuai program penjelasan mengenai konsep jihad.

Perjuangan kononnnya atas nama jihad menyebabkan segelintir warga Malaysia terpengaruh dan menyokong kumpulan militan dikenali IS.
  
Semalam, seorang bekas pelajar sebuah universiti tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan IS tahun lepas, sekali gus menjadi rakyat Malaysia ke-24 yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan bantuan kepada IS.
  
Pada majlis sama, Jamil Khir melancarkan Pelan Strategik Jakim 2015-2019 yang digubal selaras visi Jakim menjadi peneraju kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini menjelang 2020.
  
Beliau berkata, antara yang terkandung dalam pelan strategik itu ialah usaha merealisasikan pelaksanaan lima peringkat Mahkamah Syariah.
  
"Kini masih terdapat hal-hal teknikal yang masih perlu diselesaikan dan diperbetul sebelum dapat dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja dan Parlimen," katanya.
  
Lima peringkat Mahkamah Syariah itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah.
  
Ketika ini hanya terdapat tiga peringka iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. - Bernama